malaysiakini logo
story-image
ADS

ULASAN l "Itu yang bakar sekolah agama, budak Melayu tak minum arak pun."

Menyirap darah saya membaca komen seorang warga Cina di ruang komen status Facebook seorang ahli politik.

"Sapa kata lepas minum arak mabuk? Awak pernah minum?" komen yang lain pula.

"Orang Cina mahu minum ramai-ramai dan tertutup. Itupun tak boleh. Nanti pork pun akan dilarang dipamerkan secara terbuka oleh DBKL," kata seorang yang lain.

"Orang Islam sembelih lembu tepi jalan boleh sahaja," seorang wanita pula memberi komen.

Macam-macam komen saya baca membawa kepada fikiran yang jauh ke atas, kiri dan kanan.

Perlawanan komen, dengan pelbagai sentimen, sehingga ke tahap mengganggu ketenteraman awam berleluasa. Baik bukan Islam, mahupun Islam.

Saya terus berfikir...

Apa sudah jadi dengan integrasi sosial di Malaysia? Bagaimana warga Malaysia tangani perbezaan agama, budaya, fahaman dan pandangan?

Saya sakit kepala apabila semua masalah agama, sosial dan kebudayaan di Malaysia diukur dengan sentimen parti. Dan tidak lain sentimen parti DAP.

Silap haribulan, kita yang cuba memberi pandangan secara objektif mendapat anugerah khadam DAP. Semua itu kerja loser. Ketahuilah.

MCA, banyak masa untuk bergoyang kaki. Mana tidaknya, orang yang tidak akan menentang DAP pun mengempen agar jangan undi DAP, bermakna ia satu seruan sokongan kepada MCA dan MIC, berdasarkan sifir politik pilihan raya.

Berbalik kepada acara pesta arak yang dibatalkan oleh DBKL. Pendirian saya seperti status sebelum ini.

Namun, beberapa hujah mereka sebenarnya ada ruang untuk direnung. Dan ruang itu dipagari ketat dengan peraturan dan syarat.

Saya masih teringat pandangan Tuan Guru Datuk Nik Aziz Nik Mat tentang warga bukan Islam mahu minum arak secara beramai-ramai sehingga kembung perutpun tiada masalah asalkan memenuhi syarat yang ditetapkan.

Dua situasi, memang berbeza.

Saya kira, masalah utama pesta arak ini ialah kerana ia pesta. Jika DAP, MCA dan PKR melalui beberapa wakil rakyat mereka mahu pesta ini dibenarkan, perlulah menyarankan kepada penganjur agar pesta bertukar menjadi selain daripada pesta. Iklan dihadkan seminimum mungkin. Batasan kehadiran lebih ketat. Dan sebagainya, yang wajar. Saya sekadar memberi contoh.

Apabila sekumpulan warga asing dari Australia bertelanjang bogel di Malaysia, mereka dikenakan tindakan. Walaupun ia 'harus' bagi mereka dan ia dikira sebahagian daripada hak bebas mereka.

Melakukan perbandingan, pembela pesta arak berhujah dengan undang-undang negara yang sebenarnya tidak menghalang pesta sedemikian berbanding perbogelan tadi.

Saya percaya, undang-undang berkaitan arak dan budayanya mesti diadakan jika tiada atau diketatkan jika longgar.

Jalan undang-undang adalah jalan paling harmoni untuk mengawal budaya buruk ini.

Jika tidak, berlakulah seperti apa yang terpampang pada ruang komen yang saya baca.

Saya fikir jauh ke hadapan, pertembungan atas sentimen agama dan budaya tidak perlu wujud di Malaysia. Ia menjarakkan bangsa dan kaum. Ia merenggangkan sendi rukun kenegaraan Malaysia.

Mereka bertindak sedemikian, bermotifkan politik. Itu kiraan saya. Selain mereka juga boleh bermotif politik. Orang politik bijak memenuhi ruang kosong. Jika kita juga terperangkap dengan kerangka politik, usaha kita tidak ke mana. Usul masalah kekal tidak terusik.

Saya simpulkan begini, keluar daripada sentimen kepartian. Teliti betul-betul apakah punca dan bagaimana penyelesaiannya.

Selamatkan Malaysia daripada budaya alkohol. Selamatkan Malaysia daripada kebencian agama dan kaum.


OMAR MOHAMED adalah penyumbang kepada Malaysiakini.

Rencana ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen