Institusi Keselamatan dan Kesihatan Pekerja Negara (NIOSH) bawah Kementerian Sumber Manusia akan mengambil tanggungjawab dalam menentukan keselamatan di sekolah-sekolah seluruh negara dan pusat tahfiz.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata pihaknya menjemput NIOSH dalam pasukan petugas menyiasat tragedi kebakaran di Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah di Kuala Lumpur serta bagi memastikan keselamatan di semua institusi pengajian itu mencapai piawaian yang ditetapkan.
“Task Force ini akan menyarankan NIOSH membantu maahad tahfiz termasuk yang di luar kementerian pendidikan, di luar JAKIM tapi di bawah jabatan agama Islam negeri-negeri.
"Kita berhasrat untuk campur tangan supaya keselamatan anak-anak dan guru-guru diberi keutamaan.
“Ini tugas NIOSH, walaupun maahad tahfiz tidak dekat di hati Pengerusi NIOSH Tan Sri Lee Lam Thye tapi beliau buta warna demi keselamatan, beliau akan bersama saya akan menentukan sekolah-sekolah itu selamat dan mencapai piawaian yang ditetapkan,” katanya.
Zahid berkata demikian ketika Majlis Perasmian Persidangan dan Pameran Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan kali ke-20 (COSH 2017) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya hari ini.
Kata Zahid lagi, beliau komited untuk mewujudkan pasukan petugas itu supaya kejadian hitam yang berlaku di Pusat Tahfiz Darul Ittifaqiyah tidak berulang kembali.
Katanya beliau turut kesal dengan kejadian berkenaan yang dikatakan berpunca daripada pengaruh dadah dan perbuatan ejek-mengejek.
"Oleh kerana ejek-ejek mengejek dan termasuk pengaruh lain termasuk dadah budak-budak jahat itu, jadi mangsa anak-anak kita, aspek keselamatan di premis maahad tahfiz itu kena diberi keutamaan.
“Saya sendiri pergi lihat tempat penginapan yang di jeriji yang ada gril tiap-tiap tingkapnya. Maka tidak ada jalan keluar, saya melihat ada tompokan (kesan) mereka yang tidak dapat keluar, aspek keselamatan tak diberi keutamaan,” katanya.