Pengerusi Umno Selangor Tan Sri Noh Omar mengecam Datuk Seri Mohamed Azmin Ali ekoran kenyataannya yang Umno "mengutip surat khabar lama" dengan kepulangan Tan Sri Muhammad Muhammad Taib ke parti itu.
Menteri Besar Selangor itu membuat sindiran di Twitter, sejurus selepas Presiden Umno Datuk Seri Najib Razak membuat pengumuman itu.
Noh yang merupakan antara pemimpin Umno yang dipanggil Najib untuk menyertai sidang media pengumuman itu, membandingkan sindiran tersebut dengan bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir yang kini bersama pembangkang.
"Habis yang dia (bekerjasama) dengan Tun Mahathir, bukan surat khabar lama? Mahathir itu surat khabar buruk, pun dia (Azmin) boleh junjung," katanya kepada pemberita selepas sidang media di ibu pejabat Umno di Kuala Lumpur, hari ini.
Sidang media itu menimbulkan pelbagai spekulasi apabila beberapa pemimpin tinggi Umno membatalkan program mereka di seluruh negara untuk menyertainya.
Namun pemimpin pembangkang kemudian menyindir pengumuman itu yang disifatkan sebagai 'antiklimaks'.
Selain kenyataan "mengutip surat khabar lama" itu, Azmin menerusi Twitter turut berkata Umno membazirkan masa rakyat Malaysia dengan mengadakan sidang media itu.
Noh mengalu-alukan penyertaan semula Muhammad, dan menyifatkan tokoh yang lebih dikenali dengan nama Mat Taib itu sebagai "guru" dalam politik.
"Saya kenal beliau sejak zaman pelajar. Beliau memberikan peluang untuk saya menjadi ahli parlimen. Mat Taib sifu saya dalam politik. Apa juga soal politik saya akan rujuk beliau ketika itu.
"Malah apabila beliau keluar Umno, hubungan kami masih seperti biasa, sentiasa baik," katanya sambil berkata akan berbincang dengan Mat Taib berhubung peranannya dalam membantu Umno Selangor.
Satu sumber Umno memberitahu Malaysiakini, usaha membawa masuk semula Muhammad ke dalam Umno digerakkan oleh Noh sendiri dan Datuk Seri Azeez Rahim.
Semuanya dikatakan bermula apabila mereka bertiga bertemu sewaktu menunaikan haji baru-baru ini.
Pengajaran buat yang lain
Sementara itu, Ketua Penerangan Umno Tan Sri Annuar Musa berkata beliau berharap pengumuman hari ini sebagai permulaan kepulangan ramai lagi bekas pemimpin ke dalam parti itu.
"Pintu Umno sentiasa terbuka," katanya.
Beliau juga menafikan dakwaan penyertaan Mat Taib kepada pembangkang sebelum ini sebagai "perisik" kepada Umno.
Mat Taib yang pernah menjadi naib presiden Umno pada 2004 keluar daripada parti itu untuk menyertai PAS pada 2013. Beliau menyertai PKR dua tahun kemudian.
Ketua Wanita Umno Tan Sri Shahrizat Jalil turut mengalu-alukan kepulangan Mat Taib, dan berkata beliau akhirnya menerima bahawa Umno adalah parti yang lebih baik.
"Pembangkang tidak menawarkan apa-apa kepada rakyat dan negara. Beliau mendapat pengajarannya, ini juga pengajaran kepada mereka yang lain - langkah ke hadapan untuk Malaysia adalah bersama BN," katanya lagi.