malaysiakini logo
story-image
story-image
mk-logo
Berita
Pusat tahfiz: Anwar gesa kerajaan ambil langkah serius
Diterbitkan:  Sep 17, 2017 4:07 PM
Dikemaskini: 8:38 AM
ADS

Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim menggesa kerajaan mengambil langkah serius susulan kebakaran di Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah yang mengorbankan 23 nyawa baru-baru ini.

"Ini termasuk mengumumkan jumlah maahad tahfiz yang tidak berdaftar dengan agensi bertanggungjawab, yang beroperasi di premis-premis tanpa permit PBT atau kelulusan bomba, dan langkah-langkah yang akan diambil untuk memastikan kejadian seperti ini tidak berlaku lagi," katanya menerusi satu kenyataan.

Mengakui amat sugul selepas menerima berita itu dari penjara, Anwar berkata tragedi itu adalah insiden ke-212 melibatkan pusat tahfiz sejak 2015.

Beliau juga berharap penangkapan tujuh suspek dalam perbuatan khianat berkenaan dapat merungkai kejadian sebenar.

Bagaimanapun katanya, meskipun jika terbukti kebakaran itu berpunca daripada perbuatan jenayah, aspek keselamatan di pusat-pusat tahfiz harus dipatuhi agar kejadian sama tidak berulang.

"Walaupun dipercayai wujudnya unsur khianat, namun piawaian keselamatan wajib ditepati. Kita tidak mampu cuai, lebih-lebih lagi kerana melibatkan nyawa dan masa depan anak-anak kita.

"Pada masa yang sama, saya terima baik usaha kerajaan negeri Selangor untuk melaksana audit tahap keselamatan maahad-maahad tahfiz di seluruh negeri," katanya.

Dalam kejadian awal pagi 14 September lalu, 21 pelajar dan dua warden meninggal dunia dalam kebakaran awal pagi di pusat tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah di Jalan Keramat Ujung, Kuala Lumpur.

Media melaporkan bangunan yang terbakar itu tidak memilik sijil layak menduduki bangunan dan tiada pintu kecemasan bagi menyelamatkan nyawa pelajar yang terperangkap.

Siasatan awal bomba kemudian mendapati kebakaran pusat tahfiz itu bukan berpunca daripada litar pintas, sebaliknya angkara khianat berikutan penemuan dua tong gas di bangunan berkenaan.

Polis semalam mengesahkan kebakaran itu berpunca daripada perbuatan jenayah berikutan penahanan 7 suspek.

Lihat Komen