malaysiakini logo
ADS
story-image
story-image
story-image
mk-logo
Berita
Tragedi tahfiz terbakar: Azan iringi pengebumian
ADS

Cuaca mendung dan suasana sayu menyelubungi Tanah Perkuburan Raudhatul Sakinah Taman Batu Muda, di ibu negara ketika orang ramai menunggu kedatangan jenazah mangsa kebakaran Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyyah hari ini

Sebanyak 11 liang lahad siap digali dan orang ramai serta petugas pihak menunggu ketibaan jenazah mangsa kebakaran dari Hospital Kuala Lumpur (HKL) seawal jam 3 petang tadi lagi.

Dianggarkan ada kira-kira 700 orang berkumpul pada awalnya dan jumlah itu terus meningkat dari semasa ke semasa.

Malah, ada juga yang datang dari Johor hanya untuk menyaksikan sendiri pengebumian mangsa tersebut.

Mufti Wilayah Persekutuan Datuk Dr Zulkifli Mohamad al-Bakri turut memberikan tazkirah sementara jenazah masih belum tiba.

ADS

Jenazah pertama, Muhammad Aidil Aqmal Mohd Zamzuri yang baru berusia 10 tahun tiba di kawasan tanah perkuburan itu kira-kira jam 6.25 petang.

Zilkifli kemudian memberikan tazkirah serta mengetuai bacaan doa untuk jenazah serta waris mereka tidak lama kemudian.

Ketika cuaca semakin gelap dan azan Maghrib berkumandang, jenazah seterusnya tiba satu demi satu untuk dikebumikan di situ.

ADS

Urusan pengebumian selesai sepenuhnya kira-kira jam 8 malam ini.

Selain Muhammad Aidil Aqmal, mangsa kebakaran yang dikebumikan di tanah perkuburan itu ialah:

  1. Muhammad Syafiq Haikal Abdullah (13 tahun)
  2. Muhammad Zattullah Roslan (11 tahun)
  3. Ahmad Harith Adam Mohd Nor Hadi (12 tahun)
  4. Muhammad Taufik Hidayat Norazizan (16 tahun)
  5. Muhammad Hazim Ahmad Nor (13 tahun)
  6. Muhammad Nizammudin Hasron (13 tahun)
  7. Muhammad Harris Ikhwan Mohd Sulaiman (10 tahun)
  8. Muhammad Hafiz Iskandar Sulaiman (11 tahun)
  9. Muhammad Daniel Md Amin (14 tahun)
  10. Amiel Asyraaf Abd Rasid (11 tahun)

Kelihatan ahli keluarga mangsa menitiskan air mata dan berpelukan antara satu sama lain ketika jenazah diiringi ke liang lahad.

Selain itu, orang ramai yang baru pulang dari kerja turut meluangkan masa mengikuti pengebumian berkenaan.

Sementara itu, Bernama melaporkan identiti kesemua 23 mangsa tragedi kebakaran di Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah semalam telah dikenal pasti menerusi ujian asid deoksiribonukleik (DNA, kata Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah.

Mangsa sudah dikenal pasti

Beliau berkata proses pengecaman terhadap mangsa selesai dijalankan di Institut Perubatan Forensik Negara (IPFN) Hospital Kuala Lumpur.

ADS

Kataya, pihaknya akan mengatur pertemuan dan menghubungi ibu bapa dan waris mangsa untuk memaklumkan perkembangan itu secepat mungkin.

"Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Ketua Jabatan IPFN, Dr Mohd Shah Mahmud dan pasukannya kerana membantu mempercepatkan proses pengurusan tragedi nasional ini.

"Kami berharap dan berdoa tragedi ini adalah terakhir seperti ini dan tindakan pencegahan perlu dilaksanakan dan dipatuhi semua pihak nanti,”katanya dalam kenyataan menerusi akaun Facebook rasminya, hari ini.

Dalam kebakaran 5.10 pagi semalam, seramai 21 pelajar dan dua guru yang bertindak sebagai warden maut dalam kebakaran di dalam banglo tiga tingkat itu di Jalan Keramat Hujung, Datuk Keramat di sini, manakala enam lagi cedera.

Sementara itu, jenazah mangsa korban kebakaran Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyahmula dibawa keluar satu persatu pada 4 petang ini dari IPFN.

Semua jenazah berkenaan akan dibawa ke surau kuarters Hospital Kuala Lumpur untuk dimandikan menggunakan teknik tayammum, dikafankan dan disembayangkan sebelum dibawa ke tanah perkuburan yang ditetapkan oleh waris masing-masing untuk disemadikan.

Difahamkan, 12 jenazah awal yang dibawa keluar adalah jenazah yang akan disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Raudhatul Sakinah. Taman Batu Muda, Batu Caves Selangor.

Terdahulu, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi meluangkan masa kira-kira sejam bagi mendapat maklumat terkini berkaitan jenazah selain melawat waris dan anggota keluarga mangsa di IPFN.

2 pelajar masih kritikal

Sementara itu, Bernama juga melaporkan dua pelajar Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah yang terlibat dalam kebakaran semalam masih dalam keadaan kritikal.

Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Hilmi Yahaya berkata dua pelajar lelaki berusia belasan tahun itu dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Kuala Lumpur (HKL) dan ketika ini mereka masih belum sedarkan diri.

"Keadaan dua pelajar yang cedera parah itu memang kritikal yang mana seorang daripadanya melecur teruk serta darah masih keluar dari badannya manakala seorang lagi (mengalami) kecederaan dalaman termasuk patah tulang rusuk dan ia tercucuk paru-paru mangsa.

Pasukan perubatan sedang sedaya upaya memberi rawatan terbaik kepada mereka,"katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Perarakan Hari Malaysia Peringkat Universiti Teknologi Mara (UiTM) cawangan Pulau Pinang di Permatang Pauh di Bukit Mertajam hari ini.

Dalam kejadian itu, 21 pelajar dan dua guru terkorban dalam kebakaran kira-kira 5.15 pagi semalam,

Enam pelajar lain dan seorang awam turut cedera dalam kebakaran itu semlam.

Hilmi yang juga anggota Parlimen Balik Pulau berkata empat pelajar dan seorang awam yang cedera dalam kejadian itu dilaporkan stabil dan masih menerima rawatan di HKL.

"Mereka yang lain itu mengalami pelbagai kecederaan antaranya patah tangan, patah kaki, patah pinggang, patah tulang rusuk, patah punggung dan dalam lawatan saya semalam di hospital mendapati mereka stabil.

Mereka tercedera selepas terjun dari bangunan pusat tahfiz berkenaan kerana mahu menyelamatkan diri.Cuma seorang sahaja yang tidak cedera kerana dia menyelamatkan diri dengan mengelongsor menerusi batang paip," katanya.

Sementara itu, beliau berkata ujian asid deoksiribonukleik (DNA) semua mayat mangsa dapat diselesaikan lebih awal berbanding jangkaan kerana mendapat bantuan doktor dan petugas daripada hospital berdekatan iaitu Hospital Ampang dan Hospital Selayang bagi membantu petugas Institut Perubatan dan Forensik Negara (IPFN).

"Kami mempunyai pasukan perubatan yang cukup malah dibantu doktor dari hospital berdekatan bagi mempercepatkan proses DNA berkenaan," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen