Pua bertegas tidak akan minta maaf pada PM

(Dikemaskini )

Anggota parlimen Petaling Jaya Utara Tony Pua bertegas tidak akan meminta maaf kepada perdana menteri Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak.

Pua berkata demikian sebagai maklum balas kepada peguam perdana menteri Mohd Hafarizam Harun yang berkata anak guamnya terbuka untuk permohonan maaf sebagai penyelesaian terhadap dua kes saman Najib terhadap penggubal undang-undang DAP itu.

"Tidak ada sebab untuk meminta maaf apabila saya hanya mengatakan tentang kebenaran, jadi kenapa perlu saya minta maaf?" Pua memberitahu Malaysiakini.

"Bagaimanapun saya terbuka untuk Najib menarik balik saman beliau terhadap saya," tambah beliau.

Dalam status Facebook kemudiannya Pua menjenakakan tawaran untuk beliau memohon maaf.

"Oooh! PM kita sangat berbesar hati! Air mata mengalir.

"Apa yang perlu saya buat hanya katakan 'maaf, Perdana Menteri' dan perdana menteri kita yang baik hati akan menggugurkan (barangkali dua) saman fitnah terhadap saya. Jangan ambil hati.

"Apa fikiran anda?" Kata beliau di Facebook.

Pua berkata jika Najib mendapati biaya perundangannya memakan belanja mahal, nasihatnya beliau perlu menarik semula kes-kes yang 'membuang masa' ini.

Najib pada bulan Mac 2015 memfailkan saman terhadap Pua atas ucapan beliau yang mendakwa membayangkan perdana menteri telah mencuri duit orang ramai melalui 1MDB.

Pada April 2017 pula Najib memfailkan satu lagi saman fitnah terhadap Pua berkenaan cadangan pindaan Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 pindaan 2016 atau Akta 355 yang didakwa Pua sebagai cara mengalihkan perhatian daripada masalah Najib dengan 1MDB.

Awal hari ini, Hafarizam berkata Najib berfikiran terbuka untuk permohonan maaf daripada Pua.