malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Polis cekup lelaki hina almarhum Sultan Kedah
Diterbitkan:  Sep 13, 2017 6:47 PM
Dikemaskini: 11:04 AM
ADS

Polis menahan seorang lelaki berusia 21 tahun kerana disyaki memuat naik kenyataan berunsur penghinaan terhadap almarhum Sultan Kedah, Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Bukit Aman, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani berkata, remaja itu ditahan kira-kira pukul 12.27 tengah malam di sebuah rumah di Genting Highlands.

"Turut dirampas adalah seunit telefon bimbit jenama Apple Model iPhone 7 Plus dan seunit laptop MSI Gaming G Series.

"Suspek sedang direman selama 2 hari bagi membantu siasatan," katanya dalam satu kenyataan.

Acryl berkata, polis juga sedang mengesan seorang lelaki yang didapati memuat naik posting berunsur penghinaan terhadap kemangkatan almarhum sultan.

"Kedua-dua kes disiasat di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998," katanya.

Acryl turut menasihatkan orang ramai supaya menjadi rakyat yang bertanggungjawab dan berfikir sebelum membuat sesuatu.

"Jangan sesekali menyalahgunakan laman sosial untuk membuat sebarang komen yang dilihat sebagai biadap, kurang ajar atau penghinaan terhadap sesiapapun lebih-lebih lagi terhadap institusi raja serta pemimpin-pemimpin negara

" Tindakan tidak bermoral seperti ini dikhuatiri mampu mencetuskan ketegangan dalam kalangan masyarakat selain mengganggu gugat keamanan serta ketenteraman di negara ini," katanya.

Lihat Komen