MB: Infrastruktur AS lebih penting dari paip air Sabah, S'wak?

(Dikemaskini )

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Abdul Razak tidak seharusnya menggadaikan kemakmuran ekonomi negara hanya untuk peluang bergambar dengan Presiden Amerika Syarikat (AS), kata Menteri Besar Selangor Datuk Seri Azmin Ali.

Beliau berkata langkah Najib melabur sehingga AS$24 bilion (RM100 bilion) bagi membantu 'memperkukuhkan ekonomi AS' tidak dapat difahami.

"Amat mengejutkan Najib mahu 'memperkukuh' ekonomi terbesar dunia dengan RM100 bilion wang rakyat Malaysia. Tidak ada peluang bergambar semahal ini," tulis Azmin di Twitter.

Najib bertemu dengan Trump semalam. Kedua-dua pimpinan tersebut menggariskan rancangan meningkatkan pelaburan Malaysia di AS.

Trump berkata Malaysia boleh melabur di antara AS$10 bilion ke AS$20 bilion dalam sektor penerbangan - AS$10 bilion untuk membeli pesawat Boeing oleh Malaysia Airlines Berhad (MAS).

Najib berkata Kumpulan Wang Simpana Pekerja (KWSP) akan melabur di antara AS$3 bilion ke AS$4 bilion bagi membantu pembangunan insfrastruktur AS.

"Adakah PM memberitahu kita bahawa membantu AS membina infrastruktur lebih penting daripada membantu Sabah dan Sarawak membina jalan dan paip air?" soal Azmin.

"Wang yang dipegang KWSP merupakan wang simpanan amanah dari rakyat dan tidak boleh digunakan secara sembarangan," tambah beliau.

Azmin berkata ekonomi yang sedang berkembang seperti Malaysia sepatutnya membawa masuk pelaburan dan bukannya menghantar wang keluar negara.

Beliau memberikan contoh kejayaan Selangor dalam menarik pelaburan luar, misalnya pelaburan RM1 bilion daripada Ikea untuk membina pusat edaran dan agihan serantau syarikat itu di Pulau Indah.