malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
PM beri isyarat sedia terima jika Pua minta maaf
ADS

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak melalui peguam memberi isyarat bersedia menerima permohonan maaf anggota parlimen Petaling Jaya Utara Tony Pua.

Ini susulan dakwaan Pua dalam sesi siaran langsung Facebook di parlimen beberapa bulan lalu yang mendakwa pembentangan Akta Mahkamah Syarikat (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 atau Akta 355 bertujuan mengalih perhatian daripada isu 1MDB.

Peguam Najib, Datuk Mohd Hafarizam Harun, memberitahu pemberita bahawa anak guamnya terbuka untuk menerima maaf daripada wakil rakyat itu.

“Beliau terbuka dan akan terima 'Saya minta maaf perdana menteri',” katanya kepada pemberita selepas pengurusan kes di depan Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur Datuk Mohd Zaki Abdul Wahab hari ini.

Hafarizam berkata isu berkaitan 1MDB, terutamanya dakwaan Pua bahawa anak guamnya mengambil wang syarikat pelaburan negara itu, mungkin menjadi batu penghalangnya.

Najib memfailkan saman fitnah kedua terhadap Pua kerana menggambarkan Najib menyalahgunakan kedudukan dengan mengarahkan kabinet, melalui speaker Dewan Rakyat, untuk membenarkan pindaan Akta 355 oleh PAS untuk mengalih perhatian daripada isu 1MDB.

Presiden Umno itu telah berjaya mendapat perintah injunksi terhadap Pua daripada mengulangi dakwaan itu.

Peguam Pua memberi isyarat akan memohon mengetepikan saman Najib.

Hafarizam juga berkata hakim mengarahkan kedua-dua pihak mengaturkan penyataan tuntutan dan pembelaan berdasarkan fakta dipersetujui dan dipertikai supaya perkara itu berjalan lancar ketika perbicaraan.

Pua juga adalah setiausaha publisiti DAP.

[Baca berita asal]

Lihat Komen