malaysiakini logo
story-image
story-image
mk-logo
Berita
Kerajaan tidak peduli isu anak tanpa kerakyatan
Diterbitkan:  Sep 12, 2017 8:59 PM
Dikemaskini: 1:09 PM
ADS

Ketua Umum Pakatan Harapan (HARAPAN) Datuk Seri Anwar Ibrahim mendakwa kerajaan memang tidak peduli dengan masalah kanak-kanak tanpa kerakyatan di Malaysia.

"Kerajaan tidak menunjukkan minat atau tekad politik untuk menyelesaikan perkara ini. Amat memalukan apabila kanak-kanak tanpa kerakyatan ini perlu mengambil tindakan undang-undang dan membuat proses rayuan hanya untuk mendapat hak sebagai warganegara.

"sementara proses perundangan perlu berjalan, saya terkejut apabila sejumlah besar kanak-kanak tanpa kerakyatan ini masih tidak menikmati hak asasi itu," katanya dalam kenyataan hari ini.

Mahkamah Persekutuan semalam membenarkan rayuan bagi permohonan tiga kes berbeza kanak-kanak tanpa kerakyatan, berhubung ibu bapa - kandung dan angkat - mahu mahkamah menentukan syarat dalam memberikan kerakyatan kepada mereka yang terkesan.

Ini adalah kali pertama mahkamah tertinggi itu akan memutuskan mengenai isu tanpa kerakyatan, berdasarkan soalan undang-undang.

Keputusan ketiga-tiga kes ini akan memberi impak atau kesan besar terhadap kanak-kanak tanpa kerakyatan atau mereka yang terbabit, kata Ahli Parlimen Padang Serai N Surendran yang juga seorang peguam.

Anwar berkata, kebanyakan kes itu dihadapi oleh masyarakat India.

"Rancangan 10 tahun Pelan Tindakan Masyarakat India yang dilancarkan gilang-gemilang oleh perdana menteri tidak bermakna apabila isu hak asasi seperti kerakyatan masih tidak selesai," katanya.

Pelan yang dilancarkan April itu memperuntukkan sejumlah RM1 bilion untuk menyelesaikan isu yang dihadapi masyarakat India di negara ini, antaranya meningkatkan taraf sosial dan menyelesaikan masalah kewarganegaraan.
 

Lihat Komen