malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
PAS: Siti Kasim dan Orok cabar Agong, Liu hina ulama
ADS

PAS Kelantan hari ini membuat satu laporan polis terhadap Siti Kasim dan David Orok di Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Bharu, di Pengkalan Chepa, hari ini.

Timbalan Ketua Pemuda PAS Kelantan, Noor Azariza Mohd Alawi, berkata aduan itu dibuat bagi membolehkan polis menjalankan siasatan berasas prinsip dan pemeliharaan undang-undang ke atas kedua-dua individu tersebut.

Katanya, ia berikutan status Facebook dipercayai milik Siti pada 1 dan 10 September lalu yang membawa pelbagai tafsiran, pengertian menyimpang dan menyesatkan mengenai ibadah korban dalam Islam.

"Pada 5 September lalu satu lagi status yang mengelirukan oleh pemilik Facebook David Orok telah dimuat naik.

"Beliau telah menyatakan bahawa Nabi Ismail adalah anak luar nikah hasil daripada tindakan Nabi Ibrahim meniduri Hajar. Ia memberi maksud bahawa nabi Allah itu melakukan perbuatan zina," katanya ketika ditemui selepas membuat laporan polis tersebut.

Pedagang Islam

Terdahulu, Siti (gambar) yang juga seorang peguam dilaporkan mengelirukan orang ramai melalui kenyataannya berhubung peristiwa Nabi Ismail dan Ibrahim yang menjadi detik permulaan kepada ibadah korban di kalangan umat Islam pada setiap 10 hingga 14 Zulhijjah.

Noor Azariza berkata Pemuda PAS turut menggesa supaya siasatan juga dibuat ke atas pemilik Facebook bekas exco Selangor, Ronnie Liu, yang membuat komen menghina kerana ulama dan Islam di laman Facebook Terengganu Kini.

Katanya, kenyataan itu dibuat ketika siaran langsung kuliah duha Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang pada 8 September lalu.

"Beliau pada komen tersebut jelas menyebut perkataan 'pedagang Islam' dan 'bertopeng agama' pada Tuan Guru yang sedang mengajar ilmu agama.

"Sehubungan itu, kami membuat laporan polis supaya satu siasatan dan tindakan undang-undang ke atas ketiga-ketiga individu tersebut dapat dibuat," katanya yang diiringi kira-kira 30 ahli Pemuda PAS.

Tambah Noor Azariza, Siti, Orok dan Liu boleh ditafsirkan sebagai menentang perlembagaan negara yang meletakkan Islam sebagai agama persekutuan, selain mencabar Yang Di-Pertuan Agong selaku penaung agama Islam Malaysia.

"Selain itu ia juga bersifat ancaman serta menggugat ke atas ketenteraman awam dan kedaulatan negara," katanya.

Malaysiakini sedang cuba mendapatkan reaksi Siti berkaitan laporan itu.


N Faizal Ghazali ialah wartawan Malaysiakini berpangkalan di Kota Bharu, Kelantan. Dia boleh dihubungi melalui e-mel: [email protected].

Lihat Komen