malaysiakini logo
story-image
story-image
mk-logo
Berita
Kerajaan negeri merafak sembah takziah
ADS

Kerajaan Negeri Kedah merafak sembah takziah dan menzahirkan rasa dukacita atas kemangkatan Sultan Kedah Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah hari ini.

Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah berkata, almarhum merupakan seorang pemerintah berjiwa rakyat yang mempunyai hubungan yang amat rapat dan sering mengambil berat tentang kebajikan rakyatnya.

“Almarhum baginda mudah didekati dan sering memberi pandangan (tentang pembangunan)... bertanya kepada kerajaan (negeri) misalnya mengenai pembangunan di Langkawi,” katanya kepada pemberita selepas sidang media khas bagi mengumumkan kemangkatan Sultan Abdul Halim di Wisma Darul Aman di Alor Setar, hari ini.

Beliau berkata, almarhum sering menyampaikan pesanan kepadanya selaku menteri besar supaya sentiasa merancang pembangunan negeri Kedah.

Sultan Abdul Halim, 89, mangkat di Istana Anak Bukit di sini pada 2.30 petang tadi. Jenazah baginda akan dimakam di Makam Diraja Langgar pada empat petang esok.

Kerajaan negeri dan rakyat Johor turut merafak sembah takziah atas kemangkatan Sultan Abdul Halim.

Menteri Besar Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, kemangkatan baginda adalah kehilangan amat besar bukan hanya kepada Kedah, malah bagi seluruh rakyat Malaysia kerana kehilangan seorang raja berjiwa rakyat.

"Dengan penuh rasa sedih dan dukacita, saya bagi pihak kerajaan negeri Johor serta rakyat jelata merafak sembah ucapan takziah kepada Sultanah Kedah Darul Aman Sultanah Haminah Hamidun, puteri-puteri serta seluruh kerabat diraja Kedah di atas kemangkatan Tuanku Sultan Al-Mu'tassimu Billahi Muhibbuddin Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah Al-Haj ibni Almarhum Sultan Badlishah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohamed Khaled berkata, almarhum Sultan Abdul Halim banyak berjasa sepanjang tempoh pemerintahan selaku Sultan Kedah dan Yang di-Pertuan Agong Malaysia.

Beliau berkata Almarhum adalah satu-satunya raja Melayu sehingga kini yang pernah menyandang jawatan Yang di-Pertuan Agong sebanyak dua kali, dan memainkan peranan besar dalam pelbagai lembaran sejarah negara.

"Semoga roh Almarhum dicucuri rahmat oleh Allah dan ditempatkan bersama-sama orang yang dikasihi-Nya," katanya.

Kerajaan dan rakyat Negeri Sembilan turut merafak sembah takziah atas kemangkatan Sultan Abdul Halim.

“Semoga roh almarhum ditempatkan dalam kalangan orang beriman dan beramal soleh," kata Menteri Besar Datuk Seri Mohamad Hasan kepada pemberita hari ini.

Kerajaan negeri dan rakyat Sabah juga merafak sembah takziah kepada seluruh kerabat diraja Kedah atas kemangkatan Sultan Abdul Halim.

Ketua Menteri Tan Sri Musa Aman menyifatkan Almarhum sebagai seorang raja yang peramah, berjiwa rakyat dan penyayang.

"Kami juga berkongsi rasa dukacita dan sedih ini bersama-sama dengan kerajaan negeri dan seluruh rakyat Kedah atas kemangkatan almarhum Tuanku.

“Kami mendoakan semoga roh Almarhum Tuanku dicucuri rahmat oleh Allah dan ditempatkan bersama para hamba-Nya yang beriman dan dikasihi," katanya dalam kenyataan hari ini.

Kerajaan negeri Kelantan menzahirkan ucapan takziah kepada seluruh kerabat diraja negeri Kedah atas kemangkatan Sultan Abdul Halim.

Menteri Besar Datuk Ahmad Yakob berkata, baginda telah memayungi rakyat dengan seadilnya dan menjaga keizzahan agama Islam dimercunya.

"Patik berdoa semoga Allah mencucuri rahmat dan maghfirah ke atas roh baginda dan menempatkan baginda di Syurga-Nya bersama para golongan yang diredai," katanya dalam satu kenyataan di sini.

-Bernama

Lihat Komen