malaysiakini logo
story-image
story-image
story-image
story-image
mk-logo
Berita
Perkabungan tujuh hari, bendera dikibar separuh tiang
Diterbitkan:  Sep 11, 2017 4:53 PM
Dikemaskini: 11:55 AM
ADS

Menteri Besar Kedah Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah hari ini, mengumumkan tempoh perkabungan selama tujuh hari berikutan kemangkatan Sultan Abdul Halim Mu'Adzam Shah pada 2.30 petang tadi di Istana Anak Bukit di Alor Setar.

Bercakap pada sidang berita khas di Wisma Darul Aman di Alor Setar, Ahmad Bashah berkata sepanjang tiga hari bermula hari ini, bendera Kedah, bendera Persekutuan dan lain-lain hendaklah dikibarkan separuh tiang.

"Dalam waktu tersebut, semua bentuk hiburan keramaian dan perayaan adalah dibatalkan," katanya.

Beliau turut mengumumkan cuti kelepasan am untuk seluruh negeri Kedah esok tetapi peperiksaan Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) berjalan seperti biasa.

Almarhum baginda, memerintah Kedah selama 59 tahun, berusia 89 tahun.

Sementara itu, mesyuarat Jawatankuasa Tetap Istiadat Kemangkatan dan Pemakaman DiRaja hari ini memutuskan bahawa jenazah Almarhum Sultan Abdul Halim disemayamkan di Dewan Penghadapan, Istana Anak Bukit untuk memberi peluang kepada rakyat memberi penghormatan terakhir dari 11 pagi hingga 12.30 tengah hari esok.

Penghormatan untuk orang kenamaan pula bermula dari 12.30 tengah hari hingga 1.30 tengah hari.

Jenazah Almarhum baginda kemudian akan dibawa melalui Lebuhraya Darulaman, Jalan Tun Razak, Lebuhraya Sultanah Bahiyah dan Jalan Langgar sebelum ke Makam Diraja Langgar untuk dimakamkan pada 4 petang.

Almarhum Sultan Abdul Halim turut melakar sejarah dengan menjadi Yang di-Pertuan Agong sebanyak dua kali iaitu pada 21 Sept 1970 hingga 12 Sept 1975 dan 13 Dis 2011 hingga 12 Dis 2016.

 

Lihat Komen