malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
PKR: Kerajaan beretorik depani isu Rohingya
Diterbitkan:  Sep 11, 2017 11:43 AM
Dikemaskini: 3:52 AM
ADS

Ketika orang Rohingya kekal menghadapi kekejaman pihak berkuasa Myanmar, Putrajaya didakwa terus memilih bersikap retorik untuk menangani isu berkenaan kata Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Presiden PKR itu berkata langkah yang sepatutnya diambil oleh kerajaan Malaysia ialah mencadangkan strategi penyelesaian konflik yang adil dan menyeluruh di Rakhine.

"Oleh yang demikian, saya menggesa Putrajaya memberi tekanan lebih kuat terhadap Myanmar dengan mengenakan sekatan perdagangan, terutama ke atas barangan pengguna dan bahan bakar," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Etnik Rohingya kini berdepan dengan tindakan keras rejim Myanmar yang melakukan operasi terancang atas nama keselamatan negara.

Mereka yang beragama Islam dan sebahagian besarnya mendiami negeri Rakhine sejak dulu terpinggir dari segala aspek. Antara lain kerana kerajaan tidak mengiktiraf mereka sebagai rakyat Myanmar.

Kekejaman dianggap sebagai penghapusan etnik bersistematik itu mendorong mereka menjadi pelarian ke pelbagai negara Asia Tenggara.

Myanmar tak endah pun

Kecaman komuniti antarabangsa dibuat ke atas Myanmar ketika negara itu kini diketuai tokoh pemenang anugerah keamanan Nobel 1991, Aung San Suu Kyi.

Dr Wan Azizah berkata selain tekanan dari Putrajaya, Asean juga perlu memainkan peranan yang lebih proaktif.

Katanya, tidak ada makna wujud kesepakatan ekonomi serantau - seperti Komuniti Ekonomi Asean (AEC) - sekiranya negara-negara anggota dibiarkan bertindak menzalimi warga di wilayah sendiri.

"Tambahan pula kezaliman tersebut mungkin mendatangkan kesan negatif kepada seluruh rantau Asean dengan radikalisasi dan ekstremisme kelompok-kelompok tertentu," katanya.

Anggota parlimen Permatang Pauh itu juga menjelaskan sehingga kini kira-kira 270,000 orang Rohingya dilaporkan melarikan diri dari wilayah Rakhine ke Bangladesh.

"Media antarabangsa turut melaporkan bahawa kebanyakan kampung Rohingya yang telah diserang askar Myanmar di wilayah Rakhine menampakkan kesan-kesan penghapusan etnik.

"Jelas Myanmar tidak mengendahkan sebarang saranan dan kecaman masyarakat antarabangsa untuk mencari jalan penyelesaian kepada isu Rohingya, malah terus angkuh menindas dan menzalimi kumpulan etnik tersebut," katanya.

Lihat Komen