malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Norlela akui isu kilang haram beri kesan karier politik
Diterbitkan:  Sep 10, 2017 6:50 PM
Dikemaskini: 10:58 AM
ADS

Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Penanti, Dr Norlela Ariffin mengakui isu kilang haram di Kampung Sungai Lembu dekat Bukit Mertajam, yang sering dibangkitkannya, memberi kesan buruk kepada karier politik beliau.

ADUN PKR itu turut mendakwa tindakannya itu menyebabkan kerajaan negeri pimpinan DAP tidak menyukainya, namun menegaskan beliau berbuat demikian demi kebajikan dan kepentingan rakyat.

Katanya, namanya disebut-disebut dalam isu kilang haram itu seolah-olah beliau melakukan kesalahan kerana membangkitkan isu berkenaan ketika sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Mei lalu dan ketika Mesyuarat Tindakan Daerah 2017.

Beliau berkata, sebaliknya tindakan itu diambil setelah beliau menerima bantahan daripada 168 penduduk menerusi 18 muka surat yang dihantar kepadanya ketika sidang DUN lalu.

"Saya tahu tindakan ini berlawan arus dan beri kesan buruk kepada karier politik tetapi demi tugas untuk selesaikan aduan rakyat yang terseksa dengan masalah ini, saya akan terus berusaha serta bangkitkan pada persidangan DUN.

"Usaha saya membangkitkan masalah itu pada sidang DUN lalu akhirnya diambil perhatian dan berharap lebih banyak kilang haram dapat ditangani melalui proses pemutihan oleh JAS supaya premis mereka boleh beroperasi mengikut peraturan ditetapkan," kata Dr Norlela kepada pemberita selepas Program Penanti River Run di Kampung Terus di Bukit Mertajam, hari ini.

Katanya, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) juga telah merekodkan keterangannya bagi membantu siasatan kes penyalahgunaan kuasa berhubung kilang habuk kayu yang beroperasi secara haram di Sungai Lembu sejak 10 tahun lepas.

Dalam pada itu, katanya, beliau akan mengusulkan akta yang lebih berkesan untuk diguna pakai bagi mengambil tindakan ke atas kilang-kilang yang beroperasi secara haram di Pulau Pinang, terutama yang mencemarkan alam sekitar.

Menurut beliau pihaknya akan membawa sekali lagi usul Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 (Akta 133) pada persidangan DUN akan datang, dijangka November nanti.

"Saya pernah usulkan akta itu pada sidang DUN dua tahun lepas supaya kerajaan negeri DAP mengambil tindakan ke atas kilang memproses habuk kayu di Sungai Lembu yang beroperasi lebih 10 tahun namun Ketua Menteri (Lim Guan Eng) menolaknya," katanya.

Beliau berkata Akta Perancangan Bandar dan Desa 1976 (Akta 172) yang diguna pakai sekarang dilihat kurang berkesan untuk menangani kewujudan kilang haram, selain memperuntukkan kompaun yang terlalu kecil iaitu sebanyak RM250.

"Saya rasa kerajaan negeri perlu lebih tegas mengatasi kewujudan kilang haram terutamanya apabila membabitkan penduduk yang terpaksa menderita akibat masalah pencemaran.

"Akta 133 adalah lebih tegas kerana ia membolehkan tindakan terus diambil terhadap pemilik kilang yang tidak mematuhi peraturan tanpa perlu dirujuk kepada pihak mahkamah," katanya.

-Bernama

Lihat Komen