malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
'AMANAH bukan nak berniaga...'
Diterbitkan:  Sep 10, 2017 3:51 PM
Dikemaskini: 7:57 AM
ADS

Parti Amanah Negara (AMANAH) Kelantan menjelaskan mereka terbuka dengan kritikan dan sindiran pelbagai pihak ekoran tersebarnya klip video mengenai alat didakwa boleh menjimatkan petrol baru-baru ini.

Bagaimanapun parti itu berkata aspek yang perlu difahami orang ramai dan pengkritik ialah, mereka bukannya mencari keuntungan atau berniaga dengan alat itu.

Ketua Pemuda AMANAH Kelantan Hazmi Hassan berkata rakaman video menunjukkan Datuk Husam Musa bercakap di depan beberapa remaja - dan menjadi tular - cuba sebahagian daripada proses ujian alat berkenaan.

"Kami panggil lima orang anak muda dan biar mereka gunakan alat itu. Kami akan dapatkan maklum balas dalam tempoh seminggu.

"Kalau berjaya alhamdulillah tapi kalau gagal tak apa, sebab matlamat kami bukan nak berniaga tapi menjadikan Kelantan bersih dari segala aspek, bukan dari segi sampah sarap saja," katanya melalui mesej ke Malaysiakini.

Pada 8 September lalu Malaysiakini melaporkan Husam menjadi sasaran kecaman pengguna media sosial kerana memperkenalkan alat yang dikatakan boleh menjimatkan penggunaan petrol motosikal.

"Pagi ni kita akan masukkan alat ni dalam tangki motor. Tujuannya untuk jimatkan penggunaan minyak motor. Sekarang ini harga minyak pun mahal. Budak-budak motor duit dia tak banyak.

"Yang kedua alat ini boleh kurangkan asap. Asap ini adalah tanda bahawa minyak tidak dibakar habis.

“Kerana itu jadi asap dan kemudian ada bekas asap yang hitam dipanggil karbon," katanya dalam mukadimah ketika menjelaskan keupayaan alat itu kepada lima pemuda yang hadir bersama motosikal masing-masing.

Hazmi berkata sindiran dan kecaman dibuat pengkritik memang agak pedih namun pihaknya menghormati pandangan berkenaan.

Katanya kehadiran AMANAH di Kelantan adalah untuk membaiki keadaan di negeri itu dan ia dibuat dengan kaedah yang termampu.

Sebelum ini pun, kata Hazmi, dia dan Husam sudah terbabit dalam dua projek berkaitan alam sekitar iaitu melepaskan anak ikan di Pulau Melaka dan menanam pokok bunga matahari di Aur Duri, Salor.

"Semua itu adalah untuk membaiki ekosisitem kita yang kian rosak (dengan) aktiviti pembakalannya, penggunaan kereta yang banyak, rakyat buang TV ikut suka.

"Hadirnya AMANAH untuk cuba membaiki ekosistem di Kelantan.

"Misi kami ialah untuk menjadikan rakyat Kelantan cintakan alam sekitar dan negeri. Biar sedut udara hari-hari dengan udara bersih.

"Kami mencuba tapi bukan untuk cari keuntungan sebaliknya untuk kebaikan rakyat Kelantan. Kalau tak berjaya tak ada masalah," katanya.

Lihat Komen