malaysiakini logo
story-image
ADS

Tidak seperti selalu, Muar dibanjiri dengan bendera bunga raya dengan latar belakang merah malam tadi.

Perubahan itu terjadi kerana Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) menjadikan bandar itu sebagai tapak mereka memperingati kemunculan pertubuhan berkenaan setahun lalu.

Ia dibidani sejumlah bekas pemimpin kanan Umno termasuk Tun Dr Mahathir Mohamad dan Tan Sri Muhyiddin Yassing - masing-masing pernah menjadi presiden dan timbalan presiden kepada Umno.

Kemeriahan tapak sambutan itu mula dirasai seawal jam 11 pagi. Pelbagai acara disusun, termasuk demonstrasi memasak, bengkel pemasaran atas talian dan bola sepak jalanan.

Seperti selalu ada banyak gerai menawarkan pelbagai produk, terutama makanan. Satu daripadanya dikendalikan Pengerusi BERSATU Terengganu Datuk Razali Idris.

Ahli politik berusia 51 tahun itu berkata beliau menjual 100 helai samping bertenun edisi terhad dengan logo BERSATU. Setiap helai berharga RM500 dan wang berkenaan akan disumbangkan kepada tabung parti itu di Terengganu

Kini aktif bersama BERSATU Razali (gambar) berkata beliau merasai perbezaan besar berbanding ketika masih bersama Umno dulu.

"Kita (BERSATU) tak sama dengan Umno. Umno bagi peruntukan semua tetapi BERSATU datang ke sini dengan satu perjuangan.

"Parti tak bagi satu sen pun duit belanja tetapi anggota parti datang sendiri. Ada yang datang lebih awal dari Terengganu.

"Saya sendiri memandu tujuh jam dari rumah di Kuala Nerus, termasuk singgah di KL terlebih dulu," katanya.

Ditanya sama ada keadaan itu memenatkan, Razali yang sebelum ini menjadi orang kuat Umno Marang berkata hal itu perlu diketepikan dulu demi perjuangan menumbangkan BN.

"Letih, masalah kewangan - kita letak ke tepi. Kita buat apa yang patut," katanya yang mendakwa semangat sama turut dapat dilihat di negeri-negeri lain.

Ajak lawan sama-sama

Ditanya mengenai keadaan semasa politik Razali berkata tidak pernah ada perdana menteri yang "mempunyai wang RM2.6 bilion" dalam akuan persendiriannya.

"Tak pernah ada. Jadi perdana menteri sekarang sudah pecah rekod, jadi saya rasa tak boleh dah.

"Ada sahabat yang bagi nasihat pada dia, sahabat itu pulak kena pecat," katanya.

Justeru katanya jalan yang ada ialah menubuhkan sebuah parti baru yang lebih kurang sama dengan Umno.

"Siapa yang tak suka Umno, kita persilakan masuk BERSATU, kita akan lawan BN," katanya

Pengerusi BERSATU Negeri Sembilan, Kamarulzaman Kamdias (gambar), pula berkata perbezaan antara Umno dan parti yang disertainya kini ibarat langit dengan bumi.

"Dulu dalam Umno semuanya berkaitan wang tetapi sekarang bersama BERSATU ni, kami keluar duit sendiri, bersusah payah. Tidak ada siapa yang bantu," katanya.

Namun katanya ia dilakukan atas kesedaran sendiri dan keazaman mahu mengubah kerajaan.

Katanya semangat begitu tidak pernah ada dalam Umno untuk tempoh dua dekad yang lalu.

Malah katanya dengan inisiatif pengerusi mereka, Tun Dr Mahathir Mohamad, masyarakat Melayu termasuk di luar bandar sudah mula membuka mata dengan keadaan semasa negara.

Ditanya mengapa Muar dipilih untuk meraikan sambutan tahun pertama BERSATU Kamarulzaman berkata ia adalah kawasan presiden mereka, Muhyiddin.

Ketua Wanita BERSATU Batu, Sarra Sulaiman, berkata dia datang ke Muar tanpa sebarang paksaan daripada sesiapa pun.

Mengaku pernah menjadi anggota Umno tegar walaupun tanpa sebarang jawatan Sarra berkata kekecewaan terhadap kerajaan sekarang mendorong orang sepertinya beralih ke BERSATU.

"Saya datang dengan konvoi empat kereta. Tak ada tajaan daripada mana-mana pihak sebaliknya kami kongsi sama-sama," katanya.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen