malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
'Perjuangan4all perlu benarkan rakyat soal isu 1MDB'
Diterbitkan:  Sep 9, 2017 5:37 PM
Dikemaskini: 12:36 PM
ADS

Program jelajah Perjuangan4all anjuran Umno perlu membenarkan rakyat bersoal jawab berkaitan isu kenaikan kos sara hidup dan skandal 1MDB, kata penolong setiausaha publisiti DAP Johor Sheikh Omar Ali.

Kenyataan ini dibuat susulan pengumuman terbaru oleh ketua penerangan Umno Tan Sri Anuar Musa yang akan menganjurkan sesi dialog berbentuk townhall bertajuk Perjuangan4all ke seluruh negara.

"Saya simpati, Annuar begitu naif. Biar saya beritahu, rakyat pada ketika ini bukan mahu dengar tentang transformasi Najib.

"Rakyat sedang bergelut dengan kenaikan kos sara hidup yang cukup menekan.

"Rakyat juga keliru kerana pada saat poket rakyat 'kering', pemimpin Umno BN diketuai Datuk Seri Najib Razak terpalit dengan pelbagai dakwaan skandal demi memenuhkan tembolok masing-masing," kata Sheikh Omar dalam kenyataan media hari ini.

Sheikh Omar memetik kajian firma penyelidikan Institut Darul Ehsan (IDE) Ogos lalu yang menunjukkan 76% rakyat di negara ini amat prihatin terhadap isu kenaikan harga barangan disamping 82% menganggap perlaksanaan cukai GST sebagai punca kenaikan kos sara hidup.

"Selain itu, 69% rakyat berpendapat isu skandal 1MDB yang gagal dijawab oleh Najib Razak telah menjatuhkan reputasi beliau sebagai Perdana Menteri Malaysia.

"Inilah kerunsingan sebenar rakyat dibawah," jelas Sheikh Omar.

Beliau menggesa program jelajah Umno itu wajar menjadikan isu sebenar rakyat sebagai asas utama.

"Jika tidak, program tersebut tidak lebih sekadar satu bentuk jelajah propaganda 'Perjuangan4Umno', untuk memanipulasi rakyat demi kepentingan Najib dan kroni-kroninya sahaja," kata Sheikh Omar.

Dialog anjuran Penerangan Umno Malaysia itu akan bermula dengan parlimen Wangsa Maju pada hari Ahad ini.

Ketua penerangan Umno, Annuar Musa berkata pendekatan baharu itu bertujuan memberikan penjelasan kepada masyarakat umum dan akar umbi mengenai kejayaan dasar transformasi Perdana Menteri dan Presiden Umno Datuk Seri Najib Razak dan dasar pentadbiran kerajaan Barisan Nasional (BN).

 

Lihat Komen