malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
PAS perlu sedia jadi kerajaan, kata Nasrudin
Diterbitkan:  Sep 8, 2017 1:10 PM
Dikemaskini: 5:47 AM
ADS

Meskipun hanya bertanding 40 kerusi parlimen dalam pilihan raya umum akan datang tetapi Ketua Penerangan PAS Nasrudin Hassan percaya parti itu harus bersedia menjadi sebuah kerajaan.

"PAS bersama Gagasan Sejahtera sedang mengorak langkah ke gerbang pilihanraya umum ke-14 dengan siap dan sedia untuk memenangi kerusi yang ditandingi. Galas tanggungjawab membina negara berkebajikan, sejahtera dan maju bersama Islam.

"Minda, spiritual dan fizikal pimpinan PAS, ahli dan seluruh penyokongnya perlu diletakkan dalam posisi "government in waiting".

"Justeru itu, PAS menggagaskan budaya politik matang dan sejahtera dalam pendekatan dan gerak kerja parti," kata Nasrudin dalam satu catatan Facebook hari ini.

PAS kini merupakan sebahagian daripada gabungan kuasa ketiga bersama parti serpihan Umno Parti Ikatan Negara (IKATAN).

Bagaimanapun IKATAN dilihat tidak mempunyai signifikan dalam politik nasional.

Parti Islam itu sejak muktamar tahun ini menyatakan akan memenangi sekurang-kurangnya 40 kerusi parlimen dan menawan lima kerajaan negeri - Kelantan, Terengganu, Kedah, Perak dan Selangor.

Parti-parti dalam Pakatan Harapan menggambarkan PAS sebagai sekutu yang berpotensi dalam kerajaan pimpinan Umno.

PAS menafikan bahawa ia akan bekerjasama secara politik dengan Umno, walaupun kedua-dua parti itu bekerjasama dalam hal-hal melibatkan kepentingan agama Islam.

 

Lihat Komen