malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Bekas CEO MRT Corp dilantik jadi pengerusi FGV
ADS

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan pelantikan Datuk Wira Azhar Abdul Hamid sebagai pengerusi Felda Global Ventures Holdings Bhd (FGV) yang baru, berkuatkuasa hari ini.

“Saya yakin dengan pengalaman luas yang dimilikinya, beliau akan dapat menerajui FGV dengan cemerlang, sekali gus meningkatkan keyakinan pelabur dan seterusnya dapat diterjemahkan dengan harga saham FGV yang lebih kukuh,” katanya dalam satu kenyataan.

Najib berkata sebagai sebuah syarikat tersenarai di Bursa Malaysia, dengan pegangan majoriti oleh Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA), kejayaan FGV sangat penting untuk manfaat warga peneroka.

“Oleh itu selaras dengan kuasa yang diperuntukan di bawah Hak Pemegang Saham Khas menerusi Artikel (80)1 Memorandum dan Articles of Association FGV, saya mengumumkan Datuk Wira Azhar Abdul Hamid sebagai Pengerusi FGV, berkuatkuasa 8 September 2017,” kata Najib yang juga Menteri Kewangan.

Azhar pernah berkhidmat sebagai pemangku presiden dan ketua eksekutif Kumpulan Sime Darby Bhd, ketua pegawai eksekutif Mass Rapid Transit Corporation Sdn Bhd dan pengerusi Tradewinds Corporation Bhd.

Beliau juga ahli Persatuan Akauntan Bertauliah Berkanun (ACCA) United Kingdom dan ahli Institut Akauntan Malaysia.

Najib turut mengucapkan terima kasih kepada Tan Sri Sulaiman Mahbob yang memangku jawatan itu sejak 19 Jun lalu atas sumbangan beliau kepada FGV, walaupun pada masa sama sibuk menggalas tanggungjawab sebagai pengerusi Telekom Malaysia Bhd.

Pada 12.20 tengah hari, saham FGV naik satu sen kepada RM1.60.
 

Lihat Komen