malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
JASA dakwa Nor Mohamed cuba lindungi Mahathir
Diterbitkan:  Sep 8, 2017 8:59 AM
Dikemaskini: 3:13 AM
ADS

Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA), cabang propaganda kerajaan, mendakwa bahawa bekas penasihat Bank Negara Tan Sri Nor Mohamed Yakcop cuba melindungi bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berhubung skandal forex.

Ketua Pengarah JASA, Datuk Mohd Puad Zarkashi juga bertanya sama ada Nor Mohamed bersedia menjadi kambing hitam.

Puad merujuk kepada keterangan Nor Mohamed kepada RCI mengenai kerugian yang dialami oleh Bank Negara di pasaran forex dari lewat 1980-an hingga awal 1990-an.

"Dia mengaku bertanggungjawab di atas kerugian besar itu, tetapi menafikan semua keputusan berkaitan urus niaga mata wang asing oleh Bank Negara sekitar 1990-an itu ditentukan oleh dia secara bersendirian.

"Maksudnya ada orang lain terlibat. Siapakah orang itu? Yang pasti Nor Yakcop cuba mengelak daripada mengaitkan perdana menteri (Mahathir) dan menteri kewangan (Datuk Seri Anwar Ibrahim) ketika itu," kata Puad.

Puad, yang menandatangani kenyataan JASA itu sebagai 'ahli Majlis Tertinggi Umno', berkata isunya ialah kenapa jumlah kerugian sebenar yang dialami oleh Bank Negara. tidak sama dengan yang dikatakan dilaporkan kepada kabinet pada masa itu.

Semalam, pengerusi RCI, Tan Sri Mohd Sidek Hassan bertikam lidah dengan Anwar, yang memberi keterangan di prosiding itu, menuduhnya tidak melaporkan kerugian sebenar kepada kabinet.

Bagaimanapun, Anwar berkata laporannya kepada kabinet adalah berdasarkan apa yang beliau terima daripada pegawai Bank Negara.

Kerugian yang dilaporkan adalah RM5.7 bilion, tetapi semasa prosiding RCI, Mohd Sidek mendakwa kerugian sebenar dianggarkan berjumlah RM32 juta.

"Mustahil Nor Yakcop membuat keputusan bersendirian dan mustahil juga jika tiada arahan dari pihak atasan," kata Puad dalam kenyataan itu.

Puad bertanya sama ada Nor Yakcop cuba berterima kasih kepada Mahathir kerana melantiknya sebagai penasihat kewangan kepada beliau ketika berlaku krisis kewangan Asia pada 1997.

"Isunya rakyat telah dibohong.

"Jangan pula kerana diberi peluang semula sebagai penasihat kewangan kepada perdana menteri semasa krisis kewangan tahun 1997/1998 menyebabkan Nor Mohamed Yakcop bersedia menjadi kambing hitam hingga tersembunyi fakta sebenar mengenai skandal kewangan yang menyebabkan negara kerugian puluhan bilion ringgit ketika itu," tambahnya.

[Baca berita penuh]

 

Lihat Komen