malaysiakini logo
story-image
ADS

RCI FOREX| Bekas menteri kewangan Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini berkata, beliau mahu bekas penasihat Bank Negara Tan Sri Nor Mohamed Yakcop dipecat.

Memberi keterangan sebagai saksi ke-21 di depan suruhanjaya siasatan diraja (RCI) mengenai kerugian dialami negara hasil aktiviti dagangan mata wang asing (forex), Anwar menceritakan pertemuannya dengan gabenor bank pusat ketika itu Tan Sri Jaffar Hussein pada 1994.

Berdsasarkan penjelasan Jaffar, Anwar berkata, Nor Mohamed didapati melanggar bidang kuasanya ekoran kerugian aktiviti forex itu.

"Dia tidak memberikan laporan dengan gambaran sebenar kepada beliau (Jaffar).

"Saya mengarahkan supaya Nor Mohamed dipecat - jika mungkin - menjelang jam 4 petang (pada hari pertemuan itu diadakan).

"Jika dia tidak meletakkan jawatan, saya akan memecatnya," kata Anwar.

Sebelum itu Anwar sempat mengkritik keterangan Nor Mohamed yang berkata, pihaknya belajar sesuatu daripada kerugian aktiviti forex berkenaan.

Kata Nor Mohamed pengalaman daripada kejadian itu telah membantu negara dalam menghadapi krisis kewangan Asia.

"Penegasannya itu tak masuk akal. Anda mesti bertanggungjawab.

"Negara tak perlu kerugian berbilion ringgit untuk belajar daripada sesuatu pengalaman. Dia patut balik ke sekolah perniagaan (untuk belajar semula)," katanya.

Kenyataan Anwar itu dibuat ketika beliau diminta memberikan pandangan terhadap kenyataan Nor Mohamed oleh anggota RCI terbabit, Tan Sri Saw Choo Boon.

Memberi keterangan di depan RCI semalam, Nor Mohamed berkata beliau mengaku bertanggunghawab atas kerugian dialami Bank Negara pada akhir 1980-an dan awal 1990-an itu.

Beliau turut mengesahkan bertanggungjawab atas aktiviti perdagangan forex Bank Negara antara 1986 hingga 1993. Nor Mohamed kemudian bersara dariada jawatannya di bank pusat itu pada April 1994.

Nor Mohamed juga mengesahkan beliau tidak pernah membincangkan transaksi forex itu dengan Anwar atau Tun Dr Mahathir Mohamad - yang menjadi perdana menteri ketika itu - antara tempoh 1986 dan 1993.

Untuk rekod selepas meninggalkan Bank Negara, Nor Mohamed pernah dipilih BN untuk bertanding di kerusi parlimen Tasek Gelugor pada pilihan raya umum ke-12 pada 2008.

Sebelum itu Nor Mohamed dilantik sebagai senator dan diangkat menjadi menteri kewangan kedua sejak 27 Mac hingga 9 April 2009.

[Baca berita asal]

Lihat Komen