malaysiakini logo
story-image
ADS

Boikot perdagangan, pelaburan dan perniagaan dengan Myanmar untuk memaksa negara itu menamatkan keganasan ke atas penduduk Muslim Rohingya di Rakhine, kata dua badan ekonomi Melayu hari ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Tindakan Ekonomi Melayu Bersatu (MTEM) Ahmad Yazid Othman berkata semua negara anggota Asean perlu berpakat bagi melaksanakan tekanan berkenaan.

"Kami mengecam keganasan dan diskriminasi terhadap warga Rohingya dan menyeru supaya para peniaga di Malaysia dan Asean memutuskan semua perniagaan, pelaburan serta perniagaan dengan Myanmar sehingga isu ini mendapat perhatian dan pembelaan sepenuhnya.

"Kami berasakan sudah sampai masanya usaha seperti ini dijalankan sebagai tindakan tegas untuk menamatkan keganasan dan mencegah ia menjadi krisis yang lebih besar," kata Ahmad Yazid di Putrajaya hari ini.

Kenyataan itu turut disokong penuh Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM).

Krisis kemanusiaan itu menjadi perhatian dunia terutama di kalangan umat Islam apabila pasukan keselamatan Myanmar melancarkan operasi atas nama keselamatan di negeri Rakhine pada 25 Ogos lalu.

Konflik itu juga dilaporkan memaksa lebih 90,000 orang melarikan diri ke Bangladesh dan sesetengah daripada mereka terkandas di kawasan pergunungan tanpa apa-apa bekalan asas.

Mengulas lanjut, Ahmad Yazid berkata kerajaan Malaysia perlu menghentikan pengambilan tenaga kerja dari Myanmar serta-merta selagi masalah pelarian Rohingya berlarutan.

"Langkah ini dapat memberikan mesej jelas dan tegas bahawa majoriti masyarakat Asean dan dunia komited untuk membawa perubahan kepada apa yang berlaku di Rakhine," katanya.

Menurut Ahmad Yazid, MTEM dan DPMM juga percaya tidak semua rakyat Myanmar bersetuju dengan tindakan kejam yang dilakukan ke atas umat Islam Rohingya sekarang.

Selain itu, Ahmad Yazid berkata pihaknya juga berharap mesej boikot itu disampaikan kepada seluruh pimpinan dan ahli perniagaan anggota Asean.

"Walaupun Asean menghormati dasar tidak campur tangan sebarang isu dalaman negara anggotanya, tindakan Myanmar ini sudah melampaui batasan pemikiran waras kemanusiaan," kata Ahmad Yazid.

Tambahnya Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri dapat memandang serius seruan mereka itu.

Lihat Komen