malaysiakini logo
story-image
ADS

Pakatan Harapan mungkin hampir menyelesaikan rundingan agihan kerusi dalam gabungan itu, tetapi bekas rakan seperjuangan, Parti Sosialis Malaysia (PSM), merasa tidak senang kerana ia telah dipinggirkan dalam rundingan tersebut.

Ia adalah satu situasi yang membuat MP tunggal PSM, Dr Michael Jeyakumar Devaraj menjadi bingung, memandangkan sokongan parti itu telah diberikan kepada parti komponen HARAPAN pada masa lalu.

"Kami telah bersama mereka dalam semua perjuangan utama, menentang cukai barangan dan perkhidmatan (GST), Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA)... Kami adalah sekutu mereka.

"Sekiranya anda boleh memasukkan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), yang pemimpinnya yang anda tentang selama bertahun-tahun, (dalam gabungan dan rundingan anda), kenapa tidak PSM?

"Apa yang telah dilakukan oleh PSM yang begitu teruk sehinggakan anda tidak boleh menimbang untuk bekerjasama dengan kami dalam gabungan anda?" kata Jeyakumar kepada Malaysiakini.

PSM kini bersedia untuk bertembung dengan HARAPAN dalam pertandingan tiga penjuru dalam pilihan raya umum akan datang, dengan DAP sudah mengumumkan rancangan untuk bertanding di kerusi Sungai Siput yang diwakili Jeyakumar.

Pada 2013, PSM bertembung dengan DAP di Jelapang, dan dengan PKR di Semenyih. Ia juga bertembung dengan PAS - sekutu Pakatan Rakyat ketika itu - di Kota Damansara. PSM kalah dalam ketiga-tiga pertandingan tersebut.

Kali ini PSM telah menambah jumlah kerusi yang ia rancang untuk bertanding hingga 20 kerusi, dan jika tidak ada pilihan, parti itu akan memaksa pertandingan tiga penjuru.

"Bola berada di gelanggang mereka, pilihan kita sama ada untuk tutup kedai atau bertanding dalam pilihan raya... Jika kami hanya mahu jadi aktivis, kami tidak akan tubuh parti," kata Jeyakumar.

'Boleh berkompromi'

Bagaimanapun, anggota jawatankuasa pusat PSM itu berkata, parti itu bersedia untuk berkompromi berkaitan kerusi yang ia ingin tandingi, tetapi hanya jika HARAPAN bersedia duduk bersama mereka dan berbincang.

Tetapi, katanya, satu-satunya tawaran yang diberikan ialah untuk beliau mempertahankan kerusi Parlimen Sungai Siput atas tiket PKR.

"Itu bukan tawaran yang boleh diterima untuk kami, dan itu sangat terbatas," katanya.

Jeyakumar berkata walaupun PSM hanya mencari pakatan pilihan raya dan bukan keanggotaan dalam HARAPAN, namun masih banyak yang boleh disumbangkan oleh parti itu kepada gabungan tersebut.

Anggota PSM, katanya, sangat dekat dengan akar umbi dan mempunyai pemahaman yang lebih baik mengenai isu-isu yang mempengaruhi rakyat Malaysia yang terpinggir.

Dengan bekerja dengan PSM, kata Jeyakumar, HARAPAN akan dapat memperdalamkan platform dan wacana politiknya, sambil melebarkan tarikannya kepada pengundi.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen