malaysiakini logo
story-image
story-image
ADS

PAS mengulangi pendirian untuk tidak akan bekerjasama dengan PKR dan Pakatan Harapan (HARAPAN) meskipun ketua umum pakatan pembangkang itu Datuk Seri Anwar Ibrahim ‘merestui rundingan’.

Ketua Penerangannya Nasruddin Hassan berkata pandangan yang dikemukakan Anwar sekadar sokongan sahaja namun PAS tetap dengan pendirian bahawa tidak ada lagi sebarang kerjasama dengan HARAPAN.

“Sokongan itu hak mereka, kita ada sikap yang ditentukan pimpinan, kita konsisten dengan ketetapan yang kita tak ada kerjasama politik dengan HARAPAN sebab sukar kita hadapi pilihan raya umum (PRU) dengan sikap tidak konsisten.

“Kita kena konsisten supaya ahli dan rakyat jelas sikap parti, (meski) kita juga ambil pandangan ahli lain kita,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat PAS hari ini.

Sebelum itu, Nasruddin diminta mengulas mengenai kenyataan Anwar yang seolah-olah bersetuju rundingan antara PKR dan PAS diadakan bagi menghadapi PRU akan datang.

Anwar berkata Biro Politik PKR telah bersetuju bahawa parti itu tidak memusuhi PAS, mengkaji kemungkinan mengelak pertarungan tiga penjuru bagi menghadapi Umno-BN pada PRU ke-14.

Anwar turut berkata beliau konsisten menyuarakan pendirian beliau kepada parti-parti dalam HARAPAN, tetapi "pimpinan berhak membuat penilaian dari semasa ke semasa."

Ia susulan pertemuan antara Presiden PKR Datuk Seri Wan Azizah, Timbalan Presiden PKR Datuk Seri Mohamad Azmin Ali yang menziarahi Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang selepas pembedahan jantung.

Kenyataan Anwar datang pada saat perpecahan dalaman PKR yang menyebabkan ahli-ahli PKR Kelantan enggan patuh kepada pimpinan yang dilihat sangat rapat dengan PAS.

Sementara itu, Anggota Parlimen Temerloh itu berkata pihaknya tidak berminat untuk campur tangan terhadap konflik yang berlaku di dalam HARAPAN dan tekad menggembleng tenaga bagi menghadapi PRU ke-14.

“Kami tidak minat campur tangan urusan rumah tangga orang, kami fokus roadmap kami, kita mahu tangkis fitnah terhadap PAS, kita susun gerak kerja.

“Kita tak nak mood kita hadapi PRU terganggu bunyi bising jiran rumah sebelah, terpulang pada mereka (nak bergaduh),” katanya

Lihat Komen