malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Rusia, Korea Selatan tumpu program nuklear Korea Utara
Diterbitkan:  Sep 5, 2017 1:00 PM
Dikemaskini: 5:09 AM
ADS

Program nuklear Korea Utara menjadi agenda utama sidang kemuncak antara Korea Selatan dan Rusia yang dijadual berlangsung minggu ini, lapor agensi berita Korea Selatan Yonhap.

Presiden Moon Jae-in dan rakan sejawatannya dari Rusia, Vladimir Putin dijadual mengadakan perbincangan pada Rabu, sejurus tiba di Vladivostok bagi menghadiri Forum Ekonomi Timur.

"Susulan ujian nuklear Korea Utara, kami menjangkakan sebahagian besar sidang kemuncak Korea-Rusia menumpukan perkara itu merangkumi pertukaran maklumat dan perbincangan mengenai tindak balas untuk masa depan," kata ketua Keselamatan Negara di pejabat presiden Nam Gwan-pyo pada satu taklimat media.

Pada Ahad Korea Utara melakukan ujian nuklear keenam dan paling kuat setakat ini.

Forum Ekonomi Timur yang akan berlangsung Khamis pada asalnya bertujuan membincangkan kerjasama ekonomi untuk membantu membangunkan Timur Jauh Rusia.

ADS

Nam merangkap anggota tetap Majlis Keselamatan Negara berkata, isu paling penting pada sidang kemuncak Korea-Rusia telah membentuk satu hubungan erat dan kepercayaan antara pemimpin kedua-dua negara.

Antara tumpuan perbincangan ialah cara meningkatkan kerjasama keselamatan dan pertemuan itu adalah yang kedua sejak Moon mengambil alih jawatan pada Mei.

Pada lawatan dua hari itu, Presiden Korea Selatan juga dijadual mengadakan perbincangan dua hala dengan rakan sejawatannya dari Mongolia Khaltmaagiin Battulga dan Perdana Menteri Jepun Shinzo Abe.

Kali terakhir Putin melawat Seoul ialah pada November 2013.

-Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen