malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Warkah Anwar suntik semangat teruskan rundingan PKR-PAS
ADS

Ketua Wanita PKR Zuraida Kamaruddin memilih untuk senada dengan pendirian mutakhir ketua umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim berkaitan hubungan dengan PAS dan biro politik parti itu.

"Saya juga anggota majlis pimpinan pusat, jadi saya akan bangkitkan perkara ini jika tiada orang yang melakukannya.

"Tapi kami akan membawakan ke peringkat parti terlebih dahulu. Jika pada peringkat biro politik mereka kata akan bawakan untuk berbincang dengan Pakatan Harapan jadi kami akan bawa.Tapi jika mereka kata tidak, ia hanya pada peringkat parti sahaja, kemudian kami akan ikut," beliau memberitahu Malaysiakini.

Zuraida berkata demikian sebagai memberi maklum balas soalan sama ada beliau atau pemimpin parti lain akan merayu kepada HARAPAN untuk benarkan mereka berunding dengan PAS.

Hal ini selepas Anwar mengakui bahawa beliau telah mengingatkan pemimpin PKR agar tidak memutuskan hubungan dengan PAS selagi parti Islam itu bersedia untuk meneruskan perbincangan.

Zuraida berkata keputusan HARAPAN pada Isnin minggu lalu untuk tidak bekerjasama dengan PAS dibuat sebelum kenyataan Anwar diterbitkan.

"Mungkin dengan warkah ini, kami akan sekali lagi cuba membawakan perkara ini kepada HARAPAN. Atas pandangan dengan adanya warkah ini mereka mungkin akan memperhitungkan untuk membincangkannya kembali.

"Tetapi jika mereka tidak mahu berbincang dan keputusan itu adalah muktamad maka kami akan menerimanya sebagai muktamad," kata beliau.

Patuhi disiplin organisasi

Mendesak semua pihak dalam parti untuk berbincang secara dalaman, Zuraida berkata ia perlu dilakukan begitu dan tidak pergi menghebahkan kepada media sebelum sebarang keputusan dibuat berkenaan kenyataan Anwar.

"Sekurang-kurangnya mereka perlu membawakannya ke mesyuarat biro politik untuk berbincang dan cari penyelesaian, bukan heboh di media serta tidak datang mesyuarat.

"Jadilah manusia yang beradab, datanglah ke mesyuarat dan berbincang sekali ini, itu sahaja," kata beliau.

Ditanya sama ada kenyataan ini ditujukan kepada seseorang, anggota parlimen Ampang itu enggan mengulasnya secara jelas.

"Saya tidak tahu. Saya juga punya perbezaan dengan keputusan-keputusan dalam biro politik tetapi menjadi tugas saya untuk hadir ke mesyuarat dan berbincang.

"Jika mesyuarat memutuskan begitu misalnya, saya perlu menurutinya walaupun saya secara peribadi tidak sukakannya. Kita perlu ada disiplin organisasi," kata beliau.

Walaupun Zuraida tidak menyebutkan nama, namun dipercayai beliau merujuk kepada naib presiden PKR Rafizi Ramli yang mengaku tidak hadir dalam mesyuarat biro politik.

Bincang untuk menang PRU

Manakala itu, seorang lagi naib presiden PKR Tian Chua memberitahu pandangan beliau terhadap kenyataan Anwar berkata PKR selaku anggota HARAPAN akan terus memperkukuh pakatan itu bagi memastikan untuk menang seberapa banyak kerusi yang mungkin.

"Ia tidak berlawanan dengan apa yang Anwar sampaikan.

"Pada masa yang sama, jika PAS sedia untuk berunding dan bekerjasama dengan kami, kami akan menyambutnya dan meneruskan kerjasama itu bagi mengurangkan risiko pertembungan berbagai penjuru."

Tidak timbul soal merayu kepada HARAPAN agar PKR diberikan peluang berunding dengan PAS, kata beliau.

"Jika ada kejujuran dalam PAS, kita akan dapat lihat hasilnya. Bila ada hasil, kami akan laporkan kepada HARAPAN dan katakanlah PAS sedia untuk menyerahkan beberapa agihan kerusinya.

"Tetapi setakat ini, kami tidak dapat melaporkan apa-apa lagi," kata beliau memetik keputusan PAS untuk putus dengan PKR.

Membincangkan kerjasama dengan PAS, ahli parlimen Batu itu menjelaskan tidak memerlukan parti Islam itu untuk bersama dalam gabungan rasmi HARAPAN.

"Selagi kita ada suatu bentuk aturan pembahagian kerusi, itu sudah cukup. Kita telah putuskan kita akan adakan sebarang kerjasama dengan PAS, itu jelas.

"Tetapi itu tidak bermakna kami perlu saling mengorbankan antara satu sama lain dan memastikan PAS kalah di Kelantan, Terengganu manakala PAS pula pastikan kami kalah di Selangor. Untuk kelebihan siapa kita lakukan semua ini?"

PAS bukan musuh

Sementara itu, walaupun jelas HARAPAN tidak mahu bekerjasama dengan PAS, timbalan ketua pemuda PKR Dr Afif Bahardin menjelaskan bagaimana PKR masih lagi suatu entiti parti yang tersendiri meski menjadi anggota HARAPAN.

"Jika PKR boleh menyatukan semua pihak terutamanya PAS, saya fikir tidak ada masalah PKR bercakap dengan PAS," kata beliau.

Perbincangan bagaimanapun akan berterusan dan ia terhad dalam struktur politik parti ini, kata Afif memetik majlis pimpinan pusat PKR dan biro politiknya.

Memetik pengerusi HARAPAN Tun Dr Mahathir Mohamad yang dilaporkan berbincang dengan Persatuan Hindraf Malaysia, Afif menunjukkan perkara itu juga tidak mewakili HARAPAN.

"PKR ni orang kata banyak bersabar," kata beliau.

Afif menegaskan PAS bukanlah musuh parti itu. Afif juga tidak nampak mudarat untuk cuba berbincang dengan PAS.

Beliau berkata tarikh pilihan raya tidak akan diketahui.

"Perdana menteri boleh umumkan next week, esok, next year, next month. Soalan ini macam tanya bila nak menemui ajal," katanya.

Afif merasakan PKR patut menggunakan masa yang ada untuk berbincang dengan PAS.

"PKR bersedia untuk bekerja dengan sesiapa saja, sama ada dengan PAS atau parti-parti politik lainnya selagi mereka menyokong agenda reformasi. Tidak perkara seperti pro-HARAPAN atau sebagainya, kami semua pro reformasi," kata beliau.

Isnin lalu, HARAPAN menyatakan tidak akan menjalin kerjasama dengan PAS, manakala biro politik PKR memperakui komitmen parti itu terhadap gabungan tersebut.

Timbalan presiden PKR Datuk Seri Azmin Ali, tokoh utama yang mendokong rundingan dengan PAS, tidak hadir dalam mesyuarat HARAPAN itu.

Keputusan HARAPAN mengejutkan kerana beberapa jam sebelum itu, para pemimpin PKR masih lagi berbincang sama ada parti itu patut meneruskan rundingan dengan PAS.


[Baca berita asal]

Lihat Komen