malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Rafizi: PAS belum nafikan pertemuan Hadi-Najib
Diterbitkan:  Sep 3, 2017 12:27 PM
Dikemaskini: 4:46 AM
ADS

ULASAN l Saya mengalu-alukan kenyataan Datuk Seri Anwar Ibrahim mengenai isu rundingan kerusi di antara PKR dengan PAS yang banyak membantu menjelaskan latar belakang persetujuan beliau mengenai rundingan tersebut (ketika isu ini timbul dua tahun lalu) dan pandangan mutakhir beliau setelah dua tahun perkara ini berlanjutan.

Saya ada pilihan untuk tidak mengulas lanjut kenyataan tersebut, namun saya khuatir ia disalah erti sehingga menyebabkan Anwar menjadi sasaran cemuhan rakyat apabila kenyataan itu ditafsirkan secara sekerat-sekerat sehingga ia keluar dari konteks sebenar.

Sejak semalam, saya lihat ada pihak yang mendakwa kenyataan Anwar itu menjadi bukti bahawa strategi berunding dengan PAS hingga ke saat akhir itu datangnya dari Anwar sendiri.

Ramai penyokong PKR dan Pakatan Harapan serta rakyat terbanyaknya yang kecewa, tidak kurang juga yang menyerang Anwar.

Dengan keterbatasan yang beliau ada kerana terpenjara, pandangan Anwar selama ini pun (dalam sesuatu perkara) memang berbentuk panduan umum yang memberi garisan jelas pertimbangan-pertimbangan yang mesti diambil kira dalam membuat keputusan.

Beliau menyenaraikan sempadan-sempadan (“parameters”) supaya keputusan yang dibuat mengambil kira perkara-perkara penting yang ditetapkan oleh sempadan-sempadan itu.

Pertandingan tiga penjuru

Namun akhirnya, keputusan diserahkan untuk dibincangkan dan dimuktamadkan oleh pimpinan PKR dan Pakatan Harapan kerana beliau ada keterbatasan dari segi maklumat terkini yang diperolehi.

Dalam isu rundingan kerusi dengan PAS ini, keterbatasan maklumat itu lebih meruncing kerana satu-satunya saluran maklumat beliau yang paling kerap ialah melalui peguam-peguam Sivarasa Rasiah, Latheefa Koya dan N Surendren yang ketiga-tiganya adalah pendokong kepada cadangan bekerjasama dengan PAS untuk mengelakkan pertandingan tiga penjuru.

Sebab itu saya menyambut baik kenyataan Anwar semalam kerana ia mengulangi perkara-perkara prinsip yang telah beliau tegaskan sejak dua tahun lalu apabila isu-isu ini mula-mula timbul.

Perkara-perkara prinsip yang dirujuk oleh Anwar dalam kenyataan beliau adalah:

1. Segala bentuk kerjasama dengan PAS, kalau pun berlaku, mestilah dalam bentuk kerangka komitmen PKR dengan Pakatan Harapan (dan bukannya atas dasar PKR bersendiri dengan PAS)

2. Segala bentuk kerjasama dengan PAS, kalau pun berlaku, mestilah dalam konteks strategi pilihanraya nasional (yang merangkumi semua parti di dalam Pakatan Harapan dan semua kerusi di seluruh negara) dan bukannya terbatas kepada Selangor semata-mata

3. Pendekatan PKR untuk tidak memusuhi PAS bagi tujuan berunding adalah bersyarat kepada kesediaan PAS untuk saling berunding; dan (penilaian sama ada PAS masih bersedia untuk berunding itu) tertakluk kepada penilaian pimpinan PKR dan Pakatan Harapan dari semasa ke semasa

4. Kebimbangan mengenai sikap PAS terhadap Umno dan kemungkinan kerjasama di antara dua parti itu adalah satu pertimbangan penting; dan Anwar berpegang kepada penafian Timbalan Presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man sebelum ini

5. Tempoh masa rundingan yang lama yang tidak membuahkan hasil membawa risiko besar kepada persediaan menjelang Pilihanraya Umum ke-14 (PRU14)

Semua perkara di atas adalah panduan-panduan yang telah digariskan oleh Anwar sejak dua tahun lalu. Oleh sebab itulah, PKR mengambil pendekatan untuk membidani penubuhan Pakatan Harapan dan pada masa yang sama terus mengekalkan hubungan dengan PAS selepas itu.

Kongres Khas

Seruan saya supaya keputusan mengenai rundingan dengan PAS dimuktamadkan segera oleh pimpinan (dan jika tidak, wajar diserahkan kepada pimpinan akar umbi untuk diputuskan melalui Kongres Khas mengikut peruntukan Perlembagaan parti) sebenarnya mengambil kira banyak perkembangan terkini yang telah menyentuh garis-garis sempadan yang ditentukan oleh Anwar sejak dua tahun lalu.

Saya senaraikan perkembangan-perkembangan terkini yang sewajarnya membolehkan PKR membuat keputusan segera dengan berpandukan garis prinsip yang ditetapkan Anwar:

i. Segala bentuk kerjasama dengan PAS mestilah dalam kerangka komitmen PKR dalam Pakatan Harapan – Majlis Presiden Pakatan Harapan telah membuat keputusan muktamad menolak sebarang bentuk rundingan kerusi dengan PAS pada saat ini memandangkan ia akan melengah-lengahkan persediaan di peringkat Pakatan Harapan jika pembahagian kerusi tidak dapat dimuktamadkan. Sebagai parti yang membidani kelahiran Pakatan Harapan, PKR wajar menghormati keputusan yang dibuat Pakatan Harapan;

ii. Segala kerjasama dengan PAS mestilah melibatkan seluruh negara dan bukannya terbatas kepada Selangor sahaja – kenyataan pimpinan PAS secara berterusan mengesahkan parti itu akan bertanding di kesemua kerusinya semasa di bersama Pakatan Rakyat di seluruh negara. Kenyataan terkini Tuan Ibrahim juga menegaskan rundingan hanya boleh berlaku jika kerusi-kerusi PAS tidak disentuh di seluruh negara. Ini menyebabkan mustahil boleh berlaku sebarang kerjasama kerana tidak ada ruang langsung untuk AMANAH dan BERSATU bertanding, sedangkan dua parti rakan Pakatan Harapan ini wajar diberi ruang sebaiknya untuk sama-sama membantu menjana kemenangan. Dalam keadaan ini, adalah mustahil satu formula dapat dicapai yang memuaskan hati semua pihak di peringkat Selangor dan seluruh negara;

iii. Rundingan dengan PAS adalah bersyarat kepada kesediaan PAS untuk saling berunding dan tertakluk kepada penilaian pimpinan PKR dan Pakatan Harapan dari semasa ke semasa – Sehingga hari ini, PAS terus berpendirian untuk tidak berunding dengan PKR atau Pakatan Harapan. Malah, PAS Selangor yang merupakan sebahagian dari Kerajaan Selangor telah mengisytiharkan untuk bertanding di 42 kerusi DUN Selangor, termasuk Parlimen Gombak yang diwakili Datuk Seri Azmin Ali sendiri. Pendirian PAS untuk tidak berunding ini bukan sahaja disampaikan kepada PKR tetapi juga telah disampaikan kepada pimpinan BERSATU terlebih dahulu. Maka tidak hairanlah Majlis Presiden membuat penilaian bahawa PAS tidak lagi bersedia untuk berunding dan wajarlah rundingan kerusi di peringkat Pakatan Harapan tidak lagi dilengah-lengahkan dengan cubaan memujuk PAS;

iv. Kebimbangan rakyat mengenai sikap PAS terhadap Umno – Saya tidak pasti bila kali terakhir ada perhubungan terus di antara Anwar dan Tuan Ibrahim memandangkan keterbatasan ruang yang wujud di antara mereka.

Masalahnya, keputusan pimpinan PAS ditentukan oleh Abdul Hadi Awang dan bukannya Tuan Ibrahim.

Sehingga kini, Abdul Hadi belum menafikan beliau ada berbincang secara berterusan dengan Datuk Seri Najib Razak mengenai kemungkinan mewujudkan kerjasama PAS-Umno untuk merampas Selangor dalam PRU14 seperti laporan media baru-baru ini.

Malah, kalau pun Tuan Ibrahim mampu mempengaruhi keputusan JK PAS Pusat, kenyataan beliau baru-baru ini yang “berpuas hati dengan pelan rasionalisasi 1MDB” selepas mengadakan pertemuan dengan CEO 1MDB (Arul Kanda Abdullah) tidak membantu meredakan kebimbangan rakyat mengenai sikap PAS terhadap Umno;

v. Tempoh masa rundingan yang lama – sehingga kini, tidak ada sebarang kemajuan dalam rundingan di antara PKR dan PAS. Wakil PKR yang diberi tanggungjawab berunding dengan PAS iaitu Dr Shaharuddin Badaruddin (Naib Presiden dilantik) sehingga sekarang tidak ada laporan yang kukuh dan masih lagi di perbincangan awal, sedangkan PRU14 semakin dekat.

Muktamadkan segera

Justeru, saya mengalu-alukan saranan Anwar supaya “segala keputusan perlu dimuktamadkan segera” memandangkan PRU14 yang terlalu dekat.

Beliau memohon supaya Presiden dan pimpinan PKR diberikan ruang untuk memberi arah yang seterusnya (maksudnya membuat keputusan segera) selaras dengan pendirian PKR dan muafakat Pakatan Harapan.

Pendirian PKR telah lama dipersetujui seperti yang digariskan oleh prinsip-prinsip di atas dan diulangi sekali lagi oleh Anwar dalam kenyataannya semalam. Muafakat Pakatan Harapan juga telah memutuskan tidak ada lagi sebarang rundingan dengan PAS untuk membolehkan Pakatan Harapan menumpukan perhatian kepada persediaan PRU14 pada kadar segera.

Sebab itu bagi saya, isu ini tidak lagi berbangkit dan kenyataan Anwar semalam tidak boleh disalah ertikan sebagai persetujuan untuk terus menggantung rundingan kerusi di peringkat Pakatan Harapan demi memujuk PAS sehingga ke saat akhir penamaan calon.

Jika garis-garis panduan yang jelas yang diberikan oleh Anwar (besertakan keputusan di peringkat Pakatan Harapan dan penolakan PAS) masih belum membolehkan satu keputusan muktamad mengenai perkara ini di peringkat pimpinan PKR, maka ahli akar umbi berhak untuk menggunakan peruntukan Perlembagaan untuk memanggil Kongres Khas dan memuktamadkan keputusan tersebut bagi pihak parti.

Saya bersetuju dengan Anwar bahawa sewajarnya ia tidak perlu sampai ke situ kerana keputusannya sudah “terang lagi bersuluh”. Keutamaan kita sekarang adalah mempamerkan kejujuran dan keikhlasan dalam membela rakyat terbanyak yang saya pasti akan turut memikat hati ahli-ahli PAS biasa yang rata-ratanya mahu menukar kerajaan Umno/BN seperti mana juga kami di Pakatan Harapan.

Membawa isu rakyat adalah strategi yang lebih baik untuk memenangi undi penyokong PAS, bukannya rundingan dengan pimpinan yang secara jelas telah menemui jalan buntu.


RAFIZI RAMLI anggota parlimen Pandan merangkap naib presiden PKR.

Artikel ini pandangan peribadi penulis dan organisasinya serta tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen