malaysiakini logo
story-image
ADS

Seorang pesara guru dituduh di Mahkamah Seksyen Kuala Lumpur atas dua pertuduhan memiliki bahan berkaitan pengganas IS serta menyatakan sokongan kepada kumpulan bersenjata itu.

Bagi pertuduhan pertama, Abu Hasan Chan Abdullah, 64 didakwa memiliki bahan berkaitan IS di akaun Facebook miliknya.

Manakala bagi pertuduhan kedua pula, Abu Hasan dituduh menyatakan sokongan kepada IS.

Hakim Syed Faisal Syed Amir menetapkan sebutan semula kes pada 10 November ini sementara menunggu laporan daripada pakar keganasan.

Untuk pertuduhan pertama, jika didapati bersalah, suspek boleh dihukum bawah 130JB(1)(a) Kanun Keseksaan dan Subseksyen 130JB(1) kanun yang sama.

Hukuman yang boleh dikenakan kepada suspek jika didapati bersalah boleh dipenjara tempoh tidak lebih tujuh tahun.

Manakala pertuduhan kedua dihukum di bawah 130J(1)(a) Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah Subseksyen 130J(1) Kanun yang sama dan boleh dipenjara seumur hidup atau tidak lebih 30 tahun.

Awal pagi tadi, Abu Hasan diiringi dan dikawal ketat pasukan keselamatan bertopeng sebelum pertuduhan dibacakan kepadanya.

Abu Hasan yang memakai baju T berwarna ungu mengangguk faham apabila kedua-dua pertuduhan itu dibacakan.

Suspek dipercayai merupakan penyokong IS, ditahan pada 11 Ogos lalu di Bachok, Kelantan.

Lihat Komen