malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Pesan Ezam pada parti lama: Jangan angkuh
Diterbitkan:  Aug 30, 2017 11:56 AM
Dikemaskini: 4:11 AM
ADS

Bekas senator dan pengasas PKR Mohamad Ezam Mohd Nor hari ini mengingatkan parti lamanya supaya berhati-hati dengan tindak-tanduk yang dipertontonkan dan jangan angkuh.

“Berhujah dan mencabar secara terbuka boleh dilihat sebagai ciri kebebasan dan demokratik.

“Tetapi ingat pada sisi lain ia boleh dilihat sebagai lambang keangkuhan kerana terlalu yakin rakyat akan tetap sokong dan makanya mampu berbalah secara terbuka di hadapan rakyat,” katanya.

Ezam antara tokoh politik yang mempunyai latar penuh warna-warni apabila pernah menyertai banyak parti politik, daripada Umno kepada PKR, kembali kepada Umno dan kini tidak berparti.

Beliau pernah menunjukkan minat bersama Parti Pribumi Persatu Malaysia (BERSATU) tetapi kemudian mengaktifkan semula Parti Generasi Baru.

Bagaimanapun beliau akhirnya kembali bergiat bersama NGO antirasuah yang dipimpinnya.

Pandangan itu dikeluarkan di tengah-tengah kemelut dalaman PKR susulan isu kerjasama dengan bekas sekutu mereka PAS.

Dalam kenyataan hari ini, Ezam mengingatkan bahawa perjuangan reformasi yang bermula hampir 20 tahun lalu berjaya disebabkan BN dilihat terlalu angkuh dan terlalu yakin akan menang.

Beliau kini melihat ciri-ciri itu sudah menyerap ke dalam dalam Pakatan Harapan, walaupun bukan PKR.

“Sudah ada ciri-ciri keangkuhan dalam sebuah parti (bukan PKR) dalam HARAPAN yang acap kali beri kata dua kepada pihak lain yang tidak sealiran.

“PKR sebagai butir kelahiran perjuangan reformasi rakyat harus padamkan sifat keangkuhan ini,” katanya.

Ezam menegaskan “keangkuhan, memberi kata dua dan mencabar sesama kawan dan bekas kawan seangkatan bukan asas sebuah harapan”.

“Ia asas sebuah kepunahan,” katanya yang turut berkata tidak mahu mencampuri urusan parti itu.

Langkah Timbalan Presiden PKR Datuk Seri Azmin Ali berunding dengan PAS untuk pilihan raya depan bukan sahaja mencetuskan rasa tidak senang sekutu mereka dalam HARAPAN, tetapi juga pemimpin parti itu sendiri.

Naib Presiden Rafizi Ramli mengusulkan kongres khas bagi memuktamadkan pendirian mereka.

Di tengah-tengah kehangatan isu itu, mesyuarat biro politik PKR malam tadi hanya mengeluarkan kenyataan ringkas satu perenggan menegaskan komitmen terhadap HARAPAN.

HARAPAN telah pun mengeluarkan kenyataan menolak PAS dan bersedia berdepan dengan pertembungan tiga penjuru dalam pilihan raya umum depan.

Lihat Komen