malaysiakini logo
story-image
story-image
mk-logo
Berita
Kongres khas PKR jalan memintas halangan Biro Politik
Diterbitkan:  Aug 28, 2017 4:50 PM
Dikemaskini: 4:01 PM
ADS

Desakan supaya PKR mengadakan kongres khas bagi membincangkan pendirian muktamad parti terhadap PAS dibuat kerana usaha menggunakan saluran Biro Politik terlalu sukar setakat ini.

Menurut sumber cubaan membawa usul dan membincangkan isu berkenaan memang tidak akan berjaya di peringkat Biro Politik kerana majoriti anggotanya cenderung untuk terus mendekati PAS.

Katanya, keadaan menjadi lebih sukar apabila beberapa anggota lantikan kini jelas menentang usaha memperkukuhkan Pakatan Harapan (HARAPAN) tanpa mempedulikan PAS.

"Sepatutnya presiden bertindak lebih lincah untuk membaca gerak-geri pimpinan di peringkat pusat. Bagaimanapun setakat ini sebahagian ahli melihat Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail agak lambat bertindak," katanya kepada Malaysiakini.

Justeru, katanya, itu jugalah sebab mengapa Rafizi Ramli tidak hadir ke mesyuarat Biro Politik untuk beberapa ketika.

"Ia tidak dinyatakan secara jelas namun kami percaya ia adalah manifestasi kekecewaan beliau kepada sebahagian besar anggota Biro Politik.

"Malah Rafizi juga pernah menyatakan beliau memang tidak akan menghadiri mesyuarat Biro Politik selagi seorang dua anggota lantikan tertentu dikekalkan," katanya.

Pada 27 Ogos lalu Rafizi yang juga naib presiden PKR menyarankan parti itu mengadakan kongres khas bagi memutuskan sama ada mereka perlu terus berunding dengan PAS atau tidak.

Kata Rafizi ketika ini wujud dua kumpulan saling bertentangan dalam parti itu dan masing-masing membawa pendapat berbeza mengenai cara bagaimana PAS perlu ditangani.

Katanya, kewujudan dua kumpulan berbeza pendapat itu mengelirukan akar umbi kerana ada antara mereka turut memegang jawatan kanan di peringkat Pakatan Harapan (HARAPAN).

Keadaan itu, kata Rafizi, sudah berlaku sejak pertengahan 2015 dan dikhuatiri akan memberi kesan kepada persediaan gabungan berkenaan menghadapi pilihan raya umum (PRU) ke-14.

Pagi tadi sekumpulan pemimpin akar umbi tampil menyokong gesaan Rafizi itu selepas mendapati ada isyarat bercelaru dipancarkan daripada pimpinan tertinggi parti.

Menamakan diri mereka sebagai Jawatankuasa Bertindak Harapan Pakatan, kumpulan itu bimbang keadaan demikian jika dibiarkan akan menyebabkan pengundi atas pagar dan rakyat keseluruhannya menyampah kepada PKR.

Ekoran itu Timbalan Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Dr Afif Bahardin membuat kenyataan membidas Rafizi dan menyarankan supaya berhubung dengan Setiausaha Agung Datuk Saifuddin Nasution Ismail untuk mengadakan mesyuarat Majlis Pimpinan Pusat (MPP) dengan segera.

Kata Afifi kali terakhir mesyuarat MPP diadakan pada 19 Mei lalu.

ADUN Seberang Jaya itu juga menempelak Rafizi kerana "sudah sekian lama tidak menghadiri mesyuarat Biro Politik".

Sementara itu sumber juga menyatakan, wujud rasa curiga di kalangan pemimpin tertentu apabila nama Datuk Seri Anwar Ibrahim selalu disebut-sebut untuk mewajarkan sesuatu tindakan.

Katanya, tidak ada kepastian sama ada bekas timbalan perdana menteri itu memang berpandangan seperti yang didakwa, atau namanya sekadar dipergunakan.

Sumber itu juga bagaimanapun mendakwa Anwar sebenarnya sudah berhubung dengan Dr Wan Azizah sehari dua lalu dan merestui gesaan supaya kongres khas diadakan.

Lihat Komen