malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
'Rundingan PKR-PAS boleh jadi sebab kalah PRU'
Diterbitkan:  Aug 27, 2017 6:43 PM
Dikemaskini: 10:51 AM
ADS

Naib Presiden PKR Rafizi Ramli mendakwa, pimpinan PKR yang masih meneruskan rundingan dengan PAS hanya akan melengah-lengahkan rundingan kerusi di peringkat Pakatan Harapan (HARAPAN) yang sedang berjalan.

Malah, Rafizi mendakwa, tindakan pimpinan PKR yang masih melakukan rundingan itu adalah disebabkan dapatan kajian yang dilakukan oleh Institut Darul Ehsan (IDE) dan Merdeka Centre.

Menurut Rafizi, berdasarkan pembentangan oleh IDE, pengundi bukan Melayu sangat membenci Umno dan mereka akan tetap mengundi PKR atau HARAPAN walaupun parti itu dilihat terus berunding dan melakukan kerjasama dengan PAS.

Justeru, hasil daripada dapatan itu, rundingan bersama PAS masih dijalankan walaupun hasil kaji selidik yang dikemukakan dua badan itu tidak menggambarkan keadaan sebenar, kata Rafizi.

"Kumpulan yang masih mahu mendampingi PAS sering memetik dapatan-dapatan dari Merdeka Centre dan IDE yang menurut mereka menunjukkan bahawa PAS adalah parti Melayu yang paling kuat.

"Oleh itu, pada perkiraan mereka, sebarang pertandingan tiga penjuru dengan PAS akan menyebabkan Umno menang besar.

"Saya tidak pernah melihat data yang terperinci dari Merdeka Centre atau IDE. Kaedah dan jenis sampel kaji selidik yang mereka jalankan juga berbeza dari apa yang dilakukan oleh INVOKE- yang saya rujuk dalam memahami pola sokongan rakyat terkini," kata Rafizi dalam kenyataan medianya.

Beliau menambah, dapatan kajian antara INVOKE dan Merdeka Centre serta IDE berbeza dan bertentangan kerana pertembungan dua set data berbeza yang disebabkan oleh latar belakang setiap badan yang mengeluarkan dapatan berkenaan.

Rafizi turut melahirkan rasa sangsi terhadap dapatan IDE dan Merdeka Centre memandangkan kedua-dua badan itu mempunyai kaitan dengan kerajaan Selangor.

"INVOKE ditubuhkan oleh saya, maka dapatannya dituduh berat sebelah, hanya sokong pandangan saya dan rakan-rakan.

"Kaedah dan sistem yang digunakan INVOKE menepati piawaian antarabangsa dan saya pastikan data dan dapatan dibuka kepada orang ramai agar jika benar ada manipulasi, ia boleh dibuktikan segera," katanya.

Rafizi berkata lagi, perbezaan pendapat di peringkat pimpinan menjadi lebih ketara apabila dapatan terkini dibentang Prof Datuk Dr Redzuan Othman dari IDE dan Prof Mohd Noor Nawawi dari Universiti Selangor (Unisel) berhubung sokongan pengundi Cina yang tidak begitu terkesan dengan kerjasama PKR dan PAS.

Sehubungan itu, beliau mendakwa, tindakan kumpulan yang masih meneruskan rundingan bersama PAS akan menyebabkan kekalahan calon PKR terutama daripada kalangan yang tidak bersetuju dengan rundingan berkenaan.

"Dengan kenyataan demi kenyataan PAS yang bukan sahaja menolak pelawaan dari kumpulan PKR yang mahu berkawan, tetapi menghina PKR dari masa ke semasa, strategi terus melayan kerenah PAS dan menyakitkan hati rakan dari HARAPAN akan menyebabkan kekalahan seberapa ramai calon PKR termasuk dari kalangan mereka yang tak bersetuju dengan pendekatan itu," ujarnya.

 

Lihat Komen