malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Anwar tuntut hak jawab 'tuduhan jahat' Murad
Diterbitkan:  Aug 24, 2017 1:44 PM
Dikemaskini: 5:48 AM
ADS

Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kenyataan bekas pegawai kanan Bank Negara kepada panel suruhanjaya siasatan diraja (RCI) mengenai aktiviti perdagangan mata wang asing (forex) baru-baru ini adalah palsu, berniat jahat dan tidak adil.

Kata Anwar kenyataan dibuat Datuk Abdul Murad Khalid pada 21 Ogos lalu adalah "palsu belaka".

"Saya tidak pernah berkata demikian kepada beliau.

"Saya menegaskan bahawa saya tidak perlu berkata sedemikian kepada seorang petugas seperti Murad yang diarah gabenor Bank Negara ketika itu, Tan Sri Jaffar Hussein, untuk memberi taklimat kepada saya berkenaan aspek teknikal perakaunan dan isi kandungan laporan tahunan bank pusat itu.

"Saya ingin menegaskan, selain satu taklimat itu, saya telah berurusan secara terus dengan Tan Sri Jaffar," katanya dalam kenyataan media hari ini.

Pada hari pertama sidang RCI forex itu Abdul Murad mendakwa Anwar pernah berkata beliau akan meletakkan jawatan sebagai menteri kewangan jika jumlah sebenar kerugian Bank Negara dalam urus niaga forex itu didedahkan.

Abdul Murad yang sebelum ini pernah bertugas sebagai penolong gabenor Bank Negara berkata perkara itu disampaikan sendiri oleh Anwar kepadanya.

Membacakan kenyataan saksi, Murad berkata pada 1994 Jaafar mengarahkannya menjejaskan kerugian itu kepada Anwar.

“Anwar minta saya ikut penerbangan ke Hawaii untuk membekalkan penjelasan berkaitan kerugian forex, seperti diarahkan Jaafar,” katanya kepada RCI itu.

Minta berkali-kali

Menurut Anwar kenyataan Abdul Murad itu bernada sindiran, berniat jahat dan menunjukkan seolah-olah mahu kerugian dialami Bank Negara ditutup daripada pengetahuan ramai.

"Abdul Murad mulai memusuhi saya secara peribadi sejak 1999 apabila beliau membuat akuan berkanun palsu terhadap saya.

"Akuan ini telah disiasat Badan Pencegahan Rasuah pada ketika itu dan didapati tidak berasas," katanya.

Pada masa sama Anwar - yang kini dipenjara kerana disabitkan kesalahan liwat - berasa sangat bimbang beliau tidak dipanggil untuk memberi keterangan di depan RCI forex walaupun namanya disebut banyak kali oleh saksi.

Kata Anwar beliau sudah membuat permintaan berkali-kali melalui peguamnya.

"Sudah pasti saya adalah seorang yang ada kena mengena dalam perkara yang sedang disiasat seperti terkandung di dalam seksyen 18, Akta Suruhanjaya Siasatan 1950.

"Walaupun begitu saya hanya dapat mengikuti perkembangan pendengaran melalui pertemuan dengan peguam-peguam saya di Penjara Sungai Buloh.

"Saya berasa amatlah tidak adil jika saksi-saksi lain dibenarkan membuat kenyataan dan dakwaan yang memudaratkan terhadap saya di hadapan RCI walhal saya tidak dibenarkan memberi respon kepada mereka dengan cara yang sama," katanya.

Lihat Komen