malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Rahim Noor pula ikut amanat siapa, soal PAS
Diterbitkan:  Aug 22, 2017 5:43 PM
Dikemaskini: 11:22 AM
ADS

PAS hari ini menyangkal tuduhan bahawa tragedi Memali yang mengorbankan 18 nyawa tiga dekad lalu berpunca daripada amanat presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Dalam kenyataannya, Naib Presiden PAS Idris Ahmad menyanggah bekas ketua polis negara, Tan Sri Abdul Rahim Noor yang mendakwa pemimpin PAS, Ibrahim Libya terpengaruh dengan amanat berkenaan.

"Saya hendak ingatkan Rahim Noor, ustaz Ibrahim Libya bukan orang jahil dalam agama. Beliau berkelulusan tinggi. Pernah belajar di India dan Libya.

"Beliau pernah bertugas di Pusat Islam, kemudian letak jawatan untuk berkhidmat dengan orang kampung," tegas Idris.

Terdahulu portal The Malaysian Insight melaporkan Rahim sebagai berkata Suruhajaya Siasatan Diraja (RCI) yang bakal dibentuk bagi menyiasat peristiwa Memali hanya akan mendedahkan peranan Hadi dalam insiden berdarah itu.

“Ibrahim merupakan seorang pengikut PAS tegar dan aktif. Dia betul-betul taasub dengan 'Amanat Hadi',” kata Rahim.

Idris dalam pada itu membangkitkan semula insiden mata lebam yang menimpa Datuk Seri Anwar Ibrahim semasa Rahim berkhidmat sebagai ketua polis negara.

Rahim didapati bersalah dan dijatuhi hukuman penjara dua bulan oleh mahkamah kerana memukul bekas timbalan perdana menteri itu ketika dalam tahanan pada 1998.

"Yang pastinya Ustaz Ibrahim Libya orang yang berakhlak dan alim dalam agama. Dia tidak pernah bertindak pukul orang sehingga cedera parah seperti yang dialami oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim.

"Saya hendak tanya pula Rahim Noor yang pukul Datuk Seri Anwar pula terpengaruh dengan amanat siapa?" 

"Etika kepolisan tidak berkelakuan seperti ini," kata Idris.

Rekod perkhidmatan jijik

Idris berkata, rekod perkhidmatan Rahim yang buruk ketika memegang jawatan berkenaan tidak melayakkannya menganggotai RCI bagi menyiasat insiden Memali.

"Rekod perkhidmatannya yang jijik tidak dapat diterima oleh masyarakat yang bertamadun.

"Yang pastinya Rahim tidak layak kalau hendak dilantik (sebagai) salah seorang anggota RCI.

"Anggota RCI mestilah orang yang memiliki sahsiah dan jati diri yang baik dan ada rekod yang baik," katanya.

Isu Memali timbul semula pada forum Nothing to Hide 2.0 di Shah Alam baru-baru ini, apabila soalan yang ditanya kepada Tun Dr Mahathir Mohamad mencetuskan kegananasan.

Mahathir merupakan perdana menteri ketika peristiwa itu berlaku.

Tragedi lebih 30 tahun lalu itu menyaksikan pertempuran antara penduduk kampung diketuai Ibrahim dan pasukan keselamatan.

Ibrahim dikaitkan dengan ajaran sesat dan mengancam ketenteraman awam, tetapi dakwaan itu sehingga kini dinafikan PAS.

 

 

 

Lihat Komen