malaysiakini logo
story-image
ADS

Hujan lebat lebih 30 minit yang melanda Makkah petang ini (waktu tempatan), ternyata menggembirakan penduduk setempat dan jutaan jemaah haji termasuk dari Malaysia yang berada di bandar raya itu.

Hujan kira-kira jam 4.45 petang mulai membasahi kota suci itu selepas umat Islam selesai menunaikan solat Asar.

Jemaah haji Malaysia yang menginap di Hotel Abraj al-Janadriyah turut tidak melepaskan peluang untuk berada di luar bangunan penginapan sambil menadah tangan kesyukuran setelah terpaksa berdepan cuaca panas terik sejak mula tiba beberapa hari lalu.

Beberapa jemaah Malaysia keluar ke kawasan lapang sambil berdoa: "Alhamdulillah… alhamdulillah, hujan rahmat".

Suhu di Tanah Suci lazimnya mencecah antara 40 dan 43 darjah Celsius.

Menurut seorang penduduk tempatan, Majid, 25, kali terakhir hujan lebat melanda Makkah ialah pada Ramadan lepas.

Sementara itu, Ketua Rombongan Haji Malaysia, Datuk Syed Saleh Syed Abdul Rahman, ketika ditemui pemberita melahirkan rasa syukur, dan menyifatkannya sebagai hujan rahmat.

"Alhamdulillah... ia satu hujan rahmat kerana setiap tahun walaupun kita dalam musim panas, masih lagi hujan yang dapat menyejukkan suasana dan membersihkan kawasan di Arafah dan Mina yang digunakan setahun sekali,” katanya.

Tidak sampai 10 hari lagi, jemaah haji akan bergerak ke Arafah, Muzdalifah dan Mina dalam operasi Masyair.

- Bernama

Lihat Komen