malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
RCI forex: Bank Negara rugi RM31.5 bilion
ADS

Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat kerugian pertukaran asing (forex) pada 1990-an "membuat kesimpulan" bahawa Bank Negara Malaysia kerugian sekurang-kurangnya RM31.5 bilion akibat skandal berkenaan.

Bekas Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Sidek Hassan yang mengetuai suruhanjaya itu berkata, kerugian dialami bank pusat itu antara tahun 1991 hingga 1994.

"Kami membuat penemuan hari ini bahawa Bank Negara rugi RM31.5 bilion antara tahun 1991 hingga 1994," katanya pada akhir pendengaran hari ini.

Angka itu, katanya, dikatakan disembunyikan daripada laporan Bank Negara.

"Kita perlu mengetahui siapa yang bertanggungjawab menyembunyikannya," kata Sidek.

Bagaimanapun, peguam Mohamed Haniff Khatri Abdulla yang mewakili bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, membantah kesimpulan berkenaan.

Bercakap kepada pemberita kemudian, Haniff berkata Sidek telah membuat "kesimpulan yang tidak perlu".

"Berdasarkan pemahaman saya sebarang penemuan harus dibuat pada akhir pendengaran. Suruhanjaya itu tidak sepatutnya membuat kesimpulan kerana penemuannya mungkin berbeza," katanya.

Sebelum ini, saksi pertama pendengaran itu, Abdul Aziz Abdul Manaf memberitahu RCI bahawa bank pusat itu kehilangan RM31.516 bilion dari 1991 hingga 1994.

Abdul Aziz merupakan bekas kakitangan Bank Negara.

Tiada dalam penyata imbangan

Selain Abdul Aziz, turut memberi keterangan ialah bekas juruaudit dalaman Bank Negara Ahmad Hizzad Baharuddin dan bekas penolong gabenor Bank Negara Tan Sri Abdul Murad Khalid.

Sidek terdahulu mempersoalkan mengapa kerugian RM31.5 bilion tidak dinyatakan dalam mana-mana laporan.

"Sememangnya angka-angka itu perlu dinyatakan di mana-mana. (Tapi) saya tidak dapat melihatnya dalam penyata imbangan," kata Sidek.

Abdul Aziz memberitahu pendengaran RCI bahawa keuntungan dan kerugian hanya dilaporkan kepada lembaga pengarah Bank Negara.

RCI dijangka menyelesaikan siasatannya dalam masa tiga bulan daripada tarikh penubuhannya pada 15 Julai dan kemudian akan mengemukakan laporannya kepada Yang di-Pertuan Agong.

Suruhanjaya itu ditugaskan untuk menentukan ketepatan tuduhan mengenai kerugian forex yang ditanggung Bank Negara dan implikasinya terhadap ekonomi negara.

Ia juga akan menentukan sama ada penglibatan Bank Negara dalam aktiviti forex melanggar Ordinan Bank Pusat 1958 atau undang-undang lain yang berkaitan.

Akhirnya, RCI akan memutuskan sama ada terdapat cubaan untuk menyembunyikan fakta dan maklumat mengenai hal itu ataukenyataan yang mengelirukan kabinet, parlimen dan orang awam.

Skandal forex berlaku pada tahun 1990-an ketika Mahathir menjadi perdana menteri, menyebabkan beberapa pihak menuduh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak cuba membalas dendam terhadap musuh politiknya itu.

Lihat Komen