malaysiakini logo
story-image
ADS

Beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) supaya menyiasat dua ahli majlis kerajaan tempatan di Pulau Pinang.

Persatuan Kebajikan Supply Pulau Pinang - sebuat NGO yang menumpukan aktiviti untuk membantu golongan miskin dalam bandar - mendakwa Sharuddin Shariff kini menetap di rumah awam yang sepatutnya didiami orang miskin di Sungai Pinang.

Unit itu, kata NGO terbabit - didiami Sharuddin yang baru dilantik menjadi anggota Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) tahun ini.

"Sharuddin mendapat RM4,000 sebulan, macam mana dia layak duduk di rumah awam? Ini tak betul," kata pengerusi NGO berkenaan, Sophian Mohd Zain.

Sophian ditemui selepas membuat laporan kepada SPRM di George Town hari ini.

Menurut Sophian pihaknya mengadukan perkara itu kepada SPRM kerana beranggapan pihak kerajaan negeri tidak akan berbuat demikian kerana projek itu terletak di bawah MBPP.

Menyertai Sophian (gambar, tengah) membuat aduan ialah bekas anggota majlis MBPP, Syazwani Md Amin (gambar, kiri), yang mendakwa isu itu pernah dibangkitkan kepada pemimpin kerajaan negeri namun tiada tindakan diambil.

Anas Sofy yang mendakwa sebagai warga prihatin Pulau Pinang berkata isu berkenaan turut dibangkitkan dalam grup WhatsApp melibatkan pemimpin tertinggi negeri.

"Dia keluar sepanjang hari tetapi balik pada waktu malam. Rumah itu diubah suai, ada penyaman udara dan kabel Astro.

"Macam mana ini boleh berlaku apabila ia adalah unit rumah awam?" katanya.

Pegang sekejap saja

Sementara itu ketika dihubungi Sharuddin berkata dia sedar mengenai laporan berkenaan dan hanya akan memberi komen mengenainya petang nanti.

Satu lagi laporan dibuat kepada SPRM membabitkan seorang lagi anggota majlis MBPP, Azrizal Tahir, yang didakwa memegang dua jawatan lantikan kerajaan negeri.

Selain menjadi anggota majlis Azrizal didakwa turut menjadi anggota Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK).

Kedua-dua jawatan itu didakwa memberi elaun kepada penyandangnya.

Kata Sophian, kedudukan itu menunjukkan Azrizal mempunyai konflik kepentingan.

"Macam mana oran yang bernama Azrizal ini memegang dua jawatan kerajaan?

"Di mana integriti dan ketelusan kerajaan negeri? Dia patut disiasat dan kerajaan negeri mesti membuat penjelasan," katanya.

NGO terbabit juga mendakwa mereka akan menyerahkan dokumen berkaitan kepada SPRM untuk membantu agensi antirasuah berkenaan menjalankan siasatan.

Mengulas dakwaan terhadapnya, Azrizal berkata, dia hanya memegang jawatan JKKK di Batu Maung untuk beberapa bulan bagi menyelesaikan krisis dalam jawatankuasa itu.

"Selepas krisis diselesaikan, saya letak jawatan. Saya tak ada jawatan dalam JKKK lagi.

"Mereka yang mengadu perlu selidik dulu sebelum buat laporan," katanya kepada Malaysiakini.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen