malaysiakini logo
story-image
story-image
mk-logo
Berita
Bank Negara gagal halang dokumen OSA didedah
Diterbitkan:  Aug 21, 2017 1:51 PM
Dikemaskini: 6:20 AM
ADS

Bank Negara gagal menghalang dokumen yang dikelaskan sebagai rahsia negara daripada didedahkan dalam suruhanjaya siasatan diraja (RCI) berkaitan kerugian Bank Negara dalam dagangan pertukaran wang asing.

Dalam pendengaran hari ini, RCI tidak menerima hujah bank pusat itu berkaitan penggunaan Akta Rahsia Rasmi (OSA).

“Jika itu OSA, ini OSA, tak perlu buat inkuiri ini.

“Saya tidak mahu debat lagi, Suhami (Ibrahim), teruskan,” kata pengerusi RCI Tan Sri Mohd Sidek Hassan kepada seorang pegawai suruhanjaya itu.

Peguam Bank Negara Tan Hock Chuan sebelum itu berkata laporan audit dan kerugian dalam urus niaga itu dikelaskan bawah OSA dan tidak terbuka untuk penelitian semua pihak.

Sidek yang menganggotai panel enam anggota kemudian menegaskan prosiding itu adalah inkuiri dan bukan perbicaraan.
“Kami ditugaskan oleh Yang di-Pertuan Agong untuk menjalankannya... Justeru, saya akan teruskan inkuiri tanpa tertangguh lagi,” katanya.

Memetik Seksyen 8 Akta Suruhanjaya Siasatan, Tan membangkitkan kebimbangan berkaitan prosedur dan kebolehterimaan bukti.

“Saksi-saksi daripada Bank Negara – mereka tidak dilindungi oleh akta itu.

“Kami ada kekebalan, kesemua pesuruhjaya ada kekebalan penuh. Dua saksi Bank Negara tidak ada kekebalan terhadap OSA.

“Hari ini mereka tidak didakwa. Tetapi 10 tahun lagi siapa yang tahu,” katanya.

Meminta kandungan laporan-laporan itu tidak diberikan kepada orang awam dan media, Tan berkata suruhanjaya itu memaksa saksi-saksi untuk melanggar OSA.

Sidek bagaimanapun berkata Perkara 21(2) akta itu menyebut bahawa bukti-bukti diberikan ada tujuannya.

RCI dibentuk selari dengan Akta Suruhanjaya Siasatan dan pelantikan anggotanya mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V.

Pejabat Perdana Menteri pada 18 Julai berkata RCI itu akan diselesaikan dalam tempoh tiga bulan bermula tarikh pembentukannya tiga hari sebelum itu.

RCI itu bertujuan menyiasat kerugian Bank Negara pada era 90-an ketika pentadbiran Tun Dr Maharhir Mohamad sebagai perdana menteri.

Pengkritik melihat usaha itu sebagai tindak balas terhadap sikap Mahathir yang lantang mengkritik dan berusaha menjatuhkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan BN.

Lihat Komen