malaysiakini logo
story-image
story-image
story-image
mk-logo
Berita
PAS mahu bawa waris mangsa Memali jumpa TPM
Diterbitkan:  Aug 21, 2017 1:20 PM
Dikemaskini: 5:57 AM
ADS

PAS telah menubuhkan jawatankuasa khas bagi membela nasib mangsa Memali dan bercadang membawa waris mangsa tragedi itu bertemu Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Setiausaha Agung PAS Datuk Takiyuddin Hassan berkata, mereka akan mengemukakan aduan rasmi memohon penubuhan suruhanjaya diraja (RCI) kepada Zahid yang juga menteri dalam negeri.

"Jawatankuasa khas tersebut akan bertindak segera mengendalikan perkara ini termasuk membawa waris-waris mangsa tragedi Memali bertemu dengan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, timbalan perdana menteri merangkap menteri dalam negeri dalam waktu terdekat bagi mengemukakan aduan rasmi memohon RCI ditubuhkan dan dijalankan seberapa segera memandangkan tragedi ini telah berlaku 32 tahun yang lalu.

"Dalam hal ini juga PAS mengharapkan RCI yang akan ditubuhkan nanti dapat menyelesaikan segala kekeliruan tentang peristiwa malang ini dan juga membela nasib dan hak semua pihak yang teraniaya ekoran daripadanya," kata Takiyuddin dalam kenyataan hari ini.

Anggota parlimen Kota Bharu juga berkata, mesyuarat lajnah politik PAS semalam memutuskan supauya jawatankuasa yang dipengerusikan naib presidennya Idris Ahmad itu membentuk pasukan khas peguam bagi membantu pihak terlibat daripada sudut perundangan.

Pasukan peguam itu akan diterajui oleh Lajnah Undang-undang dan Hak Asasi Manusia PAS (Luham), kata Takiyuddin lagi.

Sementara itu, dalam kenyataan berasingan, PAS mengalu-alukan kesediaan kerajaan untuk menubuhkan RCI bagi mengkaji tragedi Memali.

Semalam Zahid berkata, kerajaan bersedia mempertimbangkan penubuhan RCI bagi mengkaji peristiwa Memali yang mengorbankan 18 nyawa.

​Zahid berkata, penubuhan suruhanjaya berkenaan boleh dibuat sekiranya terdapat permintaan daripada individu, pertubuhan atau parti politik. ​

Lihat Komen