malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Polis pun pertahan baju lokap untuk suspek
ADS

Seperti Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM), polis juga mempertahankan pemakaian baju lokap terhadap suspek yang dibawa ke mahkamah.

Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata langkah itu bagi memudahkan pengecaman suspek.

“Tujuan kita mengenakan baju warna ungu di lokap kita adalah bertujuan senang kita mengenal pasti orang yang kita bawa. Maklum sajalah, tahanan polis ini ramai,” katanya.

“Apabila kita bawa dengan lori ke mahkamah itu pakai pakaian biasa, dia macam orang biasa, kalau terjadi apa-apa kita tak dapat ambil tindakan dengan pantas, itu tujuan utama kita pakaikan dia pakaian warna ungu supaya kita dapat cam dia dan ia mematuhi peraturan lokap.”

Khalid berkata demikian kepada pemberita dalam sidang media selepas merasmikan pelancaran Modul Peningkatan Integriti My Psikologi Spiritual (MyPS) di Bukit Aman, Kuala Lumpur hari ini.

Beliau diminta mengulas prosedur operasi piawai (SOP) polis berkaitan pakaian lokap bagi suspek yang dibawa ke mahkamah.

Khamis lalu, anggota parlimen Padang Serai N Surendran membantah pemakaian baju lokap oren untuk suspek SPRM yang dibawa ke mahkamah, selepas bekas pengerusi Felda Tan Sri Isa Samad dihadapkan untuk perintah reman.

Surendran, wakil rakyat PKR, itu berkata ia memalukan dan mencetuskan tanggapan awam bahawa suspek sudah bersalah walaupun mahkamah belum memutuskannya.

SPRM mempertahankan amalan itu dan berkata pihak yang tidak berpuas hati boleh membawa isu itu ke mahkamah.

Sementara itu, Khalid berkata SOP polis juga mengambil kira jumlah pesalah yang kadang kala ramai.
 

"Kita bawa pesalah ramai. (Sebagai contoh) lori yang kita bawa ke mahkamah setiap hari.

“Kadangkala dalam satu hari itu, dua, tiga trip kita bawa ke mahkamah untuk reman, sambung reman, bicara dan sebagainya.

"Itu peraturan lokap yang kita kenakan untuk memudahkan tugas-tugas kita," katanya.

Isa ditahan mengikut Seksyen 16 Akta SPRM 2009 berkaitan dakwaan rasuah. Polis telah menyerbu pejabat dan beberapa rumah veteran Umno itu dan merampas wang tunai RM100,000 daripada peti besinya.

Beliau dibebaskan setelah perintah remannya tamat semalam.

Lihat Komen