malaysiakini logo
story-image
story-image
mk-logo
Berita
'Projek dengan China bukan jual negara'
ADS

Anggota Majlis Tertinggi Umno Datuk Seri Ismail Sabri Yaacob berkata pembangkang terus melemparkan tohmahan kononnya kerajaan menjual negara berikutan pelaburan China dalam Projek Landasan Kereta Api Pantai Timur (ECRL).

Beliau berkata keseluruhan pakej projek mega berkenaan bukan dimiliki pihak luar kerana kerajaan menetapkan syarat supaya 30 peratus tender mesti diberikan kepada kontraktor bumiputera.

"Mereka (pembangkang) panik apabila Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berjaya membawa masuk banyak pelaburan baru ke dalam negara lalu membuat pelbagai tuduhan.

"Dahulu, sewaktu kita mengamalkan Dasar Pandang ke Timur, tidak pula dikatakan jual negara kepada Jepun malah Menara Berkembar Petronas (KLCC), satu menara dibina oleh syarikat Jepun, satu lagi oleh kontraktor dari Korea Selatan, tidak pula dikatakan jual kedaulatan negara pada masa itu," katanya ketika berucap merasmikan Persidangan Perwakilan Umno Bahagian Nibong Tebal di Pulau Pinang, hari ini.

Turut hadir Pengerusi Badan Perhubungan Umno negeri, Datuk Seri Zainal Abidin Osman yang juga Ketua Bahagian Umno Nibong Tebal.

Justeru itu, Ismail Sabri berkata Umno perlu lebih agresif menangkis tohmahan dan fitnah pembangkang terutama dalam media sosial.

"Kita tidak boleh biarkan lama sebab kalau kita biar tanpa menjawab, akhirnya fitnah akan dipercayai... Sebab itu, saya minta Pemuda dan Puteri Umno yang merupakan orang yang lebih mahir tentang sosial media supaya gunakan sosial media itu untuk memberikan penjelasan,” katanya.

Ismail Sabri yang juga Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah berkata projek ECRL itu turut memanfaat bidang pendidikan negara apabila 750 pelatih GiatMara dipilih menjalani latihan mengenai pemasaran rel kereta api projek itu.

"Selain itu, UniKL juga akan menubuhkan sebuah fakulti baharu untuk menawarkan pengajian kejuruteraan rel, jadi ini akan melatih tenaga kerja mahir dalam kalangan anak muda kita, " katanya.

-Bernama

Lihat Komen