malaysiakini logo
ADS
story-image
story-image
mk-logo
Berita
Isu bendera terbalik: Jangan dibesarkan, kata Jokowi
ADS

GLOBAL | Presiden Joko Widodo hari ini meminta semua pihak agar tidak memperbesar-besarkan isu bendera Indonesia yang dicetak terbalik dalam buku cenderamata Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL2017).

Media-media dalam talian hari ini memetik Presiden Republik Indonesia itu sebagai berkata, walaupun perkara berkenaan sangat dikesali namun rakyat negaranya diminta tidak bersikap berlebihan berhubung isu itu.

"Tidak usah dibesarkan-besarkan," katanya seperti yang dipetik oleh Detik.com

Bagaimanapun, beliau berkata kerajaan Malaysia haruslah memohon maaf secara rasmi kepada Indonesia.

"Kita menunggu permintaan maaf daripada pemerintah Malaysia, kerana menyangkut sebuah kebanggaan, nasionalisme daripada bangsa kita Indonesia. Kita tunggu permintaan maaf rasmi," kata presiden yang lebih dikenali sebagai Jokowi itu.

ADS

Jawatankuasa Penganjur Malaysia Sukan SEA 2017 (MASOC) dalam kenyataan awal hari ini, memohon maaf kepada seluruh rakyat Indonesia atas kesilapan yang tidak disengajakan itu.

Menurut MASOC, Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin yang juga pengerusi MASOC akan membuat kunjungan hormat ke atas rakan sejawatannya Imam Nahrawi, hari ini, untuk memohon maaf bagi pihak jawatankuasa itu.

 

-Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen