malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
'Perkasakan siswa untuk kematangan politik anak muda'
ADS

Para pelajar di institusi pengajian tinggi perlu diperkasakan agar anak muda Malaysia dapat menjadi matang secara politiknya, kata Anggota Parlimen DAP Serdang Ong Kian Ming.

"Walaupun Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) telah dipinda bagi membenarkan para pelajar untuk menjadi ahli parti-parti politik, mereka tidak dibenarkan untuk membawa kegiatan tersebut ke dalam kampus.

"Dalam masa yang sama, orang merungut, kematangan politik di kalangan anak muda begitu rendah, pendaftaran pengundi sangat rendah.

"Inilah yang kamu ciptakan. Anda telah melemahkan mahasiswa di universiti awam dan swasta," kata Ong dalam sebuah forum berjudul 'Kesedaran dan kematangan politik di kalangan anak muda' dalam Sidang Kemuncak Pemimpin Mahasiswa Malaysia ke 11 di Kuala Lumpur Convention Centre (KLCC) hari ini.

Ong merupakan salah seorang panelis bersama Menteri Di Jabatan Perdana Menteri Nancy Shukri. Dalam forum tersebut Ong ditanya bagaimana untuk menggalakkan kesedaran dan minat terhadap politik di kalangan anak muda.

Katanya, di UK kesemua parti politik hadir di universiti dan mereka tidak menganggu atau mencetuskan kekacauan.

Malah, kata beliau lagi, parti-parti politik itu menyumbang kepada wacana politik dan kebebasan secara keseluruhannya.

Beliau berkata kehadiran sebegitu tidak wujud di universiti awam dan swasta Malaysia.

Perkara asas seperti pendaftaran pengundi jarang-jarang dibuat di universiti di sini, keluh Ong lagi.

“Sebagai pusat kelimuan kamu memiliki para pelajar yang bakal berusia 21 tahun, inilah tempat terbaik untuk mendaftarkan mereka sebagai pengundi.

"Apakah universiti kita berbuat demikian? Tidak.

"Jika perkara asas seperti pendaftaran pengundi tidak dibuat, bagaimana kamu berharap kematangan politik di kalangan anak muda kita di universiti dapat ditingkatkan apabila kita tidak mengiktiraf keperluan untuk mengesahkan mereka sebagai pengundi," katanya.

Bagaimanapun, beliau mengenal pasti dalam dua pilihan raya umum 2008 dan 2013 jumlah pengundi muda yang keluar mengundi tidak jauh berbeza daripada penduduk yang lebih berusia.

Dilaporkan hampir empat juta warga layak mengundi yang belum mendaftar sebagai pengundi.

[Baca berita asal]

Lihat Komen