malaysiakini logo
story-image
story-image
mk-logo
Berita
Suhakam sanggah menteri kata laporan lokap dah lapuk
ADS

Sebuah lokap polis yang dinyatakan oleh Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) berada dalam "keadaan menyedihkan" sebenarnya telah ditutup tahun lalu, kata Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Nur Jazlan Mohamed.

"Kementerian Dalam Negeri tahu keadaan yang menyedihkan di situ, lokap itu berusia 100 tahun dan ditutup sejak 27 Julai 2016.

"Laporan Suhakam sudah ketinggalan zaman," katanya dalam kiriman mesej kepada Malaysiakini.

Menurut Nur Jazlan, lokap Ayer Molek di Johor Bahru yang terletak di kawasan parlimen Pulai, telah dipindahkan ke Simpang Renggam.

"(Kami tutup lokap Ayer Molek) kerana ia telah dipindahkan ke Simpang Renggam, sebuah penjara baru," katanya.

Kenyataan Nur Jazlan adalah bertentangan dengan laporan Pengerusi Suhakam Tan Sri Razali Ismail mengenai lawatan suruhanjaya itu ke lokap berkenaan pada 31 Julai tahun ini.

Menurut Razali, lokap berkenaan berada dalam keadaan menyedihkan dan wajar ditutup sekiranya tidak mencapai standard yang dikehendaki.

Katanya lawatan Suhakam ke pusat tahanan berkenaan juga mendapati ia mengancam kesihatan terhadap tahanan.

Mereka juga, katanya, tidak diberikan air dan makanan mencukupi.

Bagaimanapun Suhakam dalam reaksinya petang ini mempertahankan kenyataan dibuat mereka.

Kata Razali, untuk mempertahankan kredibiliti badan hak asasi manusia itu, perlu ditegaskan bahawa laporan yang dinyatakan semalam adalah benar.

Katanya, Penjara Air Molek memang sudah ditutup dan dipindahkan ke Ulu Choh di Pulai, Johor pada 2016 seperti dinyatakan Nur Jazlan.

"Lokap Ayer Molek masih beroperasi di satu bahagian bekas bangunan penjara itu dan Suhakam melawat lokap berkenaan pada 31 Julai 2017 yang keadaannya menyedihkan," katanya.

Lihat Komen