malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Penjara: Kenyataan media bukan dari Anwar
Diterbitkan:  Aug 17, 2017 12:57 PM
Dikemaskini: 5:14 AM
ADS

Jabatan Penjara Malaysia menafikan kenyataan media yang dikatakan dihantar oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim baru-baru ini dikeluarkan oleh ketua umum PKR itu.

Timbalan Pengarah Dasar Kepenjaraan, Supri Hashim berkata, Anwar tidak dibenarkan membuat sebarang kenyataan sama ada ketika berada di penjara atau semasa dibawa ke mahkamah.

"Adalah dijelaskan bahawa Datuk Seri Anwar Ibrahim masih menjalani tempoh hukuman pemenjaraan sepertimana yang diarahkan oleh mahkamah.

"Mana-mana banduan adalah tidak dibenarkan membuat sebarang kenyataan penyiaran tanpa kebenaran dari Jabatan Penjara iaitu sepertimana ketetapan prosedur penjara.

"Dalam hal ini Anwar tidak diberikan kebenaran berbuat sedemikian," kata Supri dalam kenyataan media hari ini.

Beliau merujuk kenyataan Anwar yang disiarkan media pada 14 Ogos mengenai insiden kekecohan yang berlaku semasa forum Nothing To Hide 2.0 di Shah Alam hujung minggu lalu.

Menurut Supri, pada hari berkenaan, Anwar diiringi pihak penjara ke mahkamah bagi menghadiri perbicaraan namun tidak dibenarkan mengeluarkan sebarang kenyataan.

"Semasa berada di mahkamah berkenaan, Anwar pada sepanjang masa berada dalam kawalan oleh pegawai dan anggota Penjara.

"Pihak-pihak yang tidak berkaitan dengan perbicaraan berkenaan adalah tidak dibenarkan menemui beliau termasuklah media massa.

"Gambar yang digunakan bagi tujuan penyiaran kenyataan tersebut juga adalah bukan gambar sepanjang tempoh Anwar berada di mahkamah pada 14 Ogos 2017," jelasnya.

Anwar kini sedang menjalani hukuman penjara lima tahun di Penjara Sungai Buloh atas kesalahan liwat.

 

Lihat Komen