malaysiakini logo
story-image
ADS

Setiausaha Agung Umno Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata, siasatan dan tahanan reman terhadap Tan Sri Mohd Isa Samad belum bermaksud bekas pengerusi Felda itu bersalah.

Menteri Wilayah Persekutuan itu bagaimanapun menyerahkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) untuk menyiasat perkara itu.

"Kita akur kepada apa yang SPRM lakukan. Kalau ada masalah, dia (SPRM) akan ambil tindakan dan buat siasatan.

"Saya percaya Tan Sri Isa akan memberi segala bantuan untuk mereka menyiasat apa yang berlaku dan memberi kerjasama kepada SPRM.

"Jadi mereka (SPRM) siasat saja, bukan bermaksud Isa bersalah walaupun dia ditahan dalam reman. SPRM sedang menyiasat, jadi biar dia siasat," katanya.

Beliau berkata kepada pemberita selepas melancarkan pembangunan The Park 2, Bukit Jalil hari ini.

Isa yang dilantik sebagai pemangku pengerusi SPAD selepas meletak jawatan sebagai pengerusi Felda Global Ventures Bhd (FGV) Jun lalu kini sedang menjalani perintah reman lima hari.

Ia bagi membantu siasatan berhubung isu pembelian hotel oleh Felda Investment Corporation (FIC) di London dan Kuching.

SPRM dilapor telah menyerbu tiga kediaman Isa di Bandar Baru Nilai, Senawang dan Linggi, Negeri Sembilan.

Pada hari ini pula, SPRM menyerbu pejabat Isa di SPAD.

Sementara itu, Tengku Adnan yang juga anggota parlimen Putrajaya berkata, tindakan SPRM menahan reman Isa bukan wayang sempena pilihan raya.

Malah, ujarnya, pihaknya akan sentiasa memberi kerjasama kepada pihak berkuasa sekiranya terdapat kes berkaitan rasuah walaupun melibatkan Dewan Bandar Raya Kuala Lumpur (DBKL).

"Mana ada wayang (penangkapan Isa). Kerajaan tak pernah wayang.

"Kita akan menyokong, malahan dua hari lepas pegawai DBKL telah diambil oleh pihak SPRM dan kita bantu SPRM.

"Kita tak pernah main wayang, yang main wayang ni adalah pembangkang," katanya lagi.

Lihat Komen