malaysiakini logo
story-image
ADS

ULASAN l PAS menggesa satu Suruhanjaya Diraja (RCI) dibentuk bagi mengkaji tragedi Memali.

Peristiwa Memali berlaku pada 19 November 1985 mengorbankan 14 orang dan berpuluh-puluh yang lain tercedera serta penahanan beratus-ratus orang.

Dalam serangan polis terhadap orang kampung itu, Ustaz Ibrahim Mahmud atau lebih dikenali dengan Ibrahim Libya terbunuh.

Dalam satu forum 'Diskusi Politik Malaysia: Dulu dan Sekarang' yang berlangsung di Kota Bharu pada 2014, bekas timbalan perdana menteri ketika itu, Tan Sri Musa Hitam berkata peristiwa Memali merupakan titik hitam dalam kerjaya politiknya.

Sebelum itu, Tan Sri Musa mengejutkan negara dengan pendedahan bahawa Perdana Menteri ketika peristiwa berdarah itu berlaku, Tun Dr Mahathir Mohamad masih berada di Kuala Lumpur pada hari kejadian, bukan di China seperti dakwaan sebelum ini.

Di Baling, pada tanggal 24 Mei 2014 yang lalu, PAS telah mengadakan Himpunan Keadilan Untukmu Memali yang dihadiri oleh seluruh kepimpinan PAS ketika itu.

Satu forum khas bertajuk 'Tragedi Memali: Pembetulan fakta sejarah menolak pembohongan kertas putih Kerajaan Malaysia telah diadakan ketika itu, di mana saksi-saksi kejadian Memali tampil mendakwa bahawa Kertas Putih mengenai peristiwa Memali yang dibentangkan oleh kerajaan di Parlimen adalah penuh dengan pembohongan.

Apakah mereka yang pernah menghadiri himpunan tersebut dan mengikuti kes Memali secara dekat kini bersetuju dengan versi tragedi Memali seperti yang didakwa Dr Mahathir semalam di mana pihak polis bertindak dengan betul bagi mempertahankan diri?

Atau kebenaran tidak lagi penting pada sesetengah mereka kerana mereka kini memerlukan Dr Mahathir untuk pilihanraya umum ke-14?

PAS kesal tragedi yang sepatutnya boleh dielak dari berlakunya pertumpahan darah itu berakhir dengan tindakan sangat zalim.

Sewajarnya, pada pandangan PAS, kerajaan perlu membuat permohonan maaf secara terbuka kepada mangsa Memali.

Memandangkan timbulnya pelbagai kenyataan yang bercanggah dengan fakta sebenar, PAS menggesa satu siasatan yang telus dan adil dapat dijalankan untuk membongkar tragedi Memali.

Sehubungan itu, PAS mendesak agar satu Suruhanjaya DiRaja diwujudkan bagi menyiasat semula tragedi Memali bagi memberikan keadilan kepada semua pihak dan membersihkan nama-nama mereka yang tidak bersalah.


DATUK TUAN IBRAHIM TUAN MAN adalah Timbalan Presiden PAS. 

Kenyataan ini adalah pandangan penulis dan organisasinya serta tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen