malaysiakini logo
story-image
ADS

ULASAN | Pertamanya, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Datuk Seri Nazri Aziz yang menurunkan taraf dia yang kononnya pemimpin besar kepada setaraf aktivis kerdil seperti saya hingga sanggup memberi respon terhadap kenyataan yang dibuat aktivis kedil dari PERKASA ini beberapa hari yang lepas.

Hebat sifat rendah diri YB itu.

Terima kasihlah kerana beliau juga mengiktiraf PERKASA sebagai pejuang bangsa apabila melabelkan kami sebagai pertubuhan rasis.

Maka samalah PERKASA dengan MCA, MIC dan Hindraf yang sentiasa berjuang untuk bangsa masing-masing.

Tapi DAP, MCA, Dong Zong, MIC dan Hindraf tidak pula Nazri gelar rasis.

Nazri juga secara tidak langsung mengiktiraf Umno bukan lagi memperjuangkan kepentingan Melayu dan Bumiputera sebab apabila mengata pihak lain rasis, maka pihaknya tidak rasis.

Jika tidak rasis, Umno perjuangkan kaum mana?

Oh.... Umno perjuangkan semua kaum. Nazri mungkin tidak tahu bezakan kerajaan, parti dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Hak dia walaupun Melayu

Kerajaan, ya, memang perlu perjuangkan semua kaum, tetapi walau apa pun kena akur dengan perlembangaan negara. Parti semestinya berjuang mengikut perlembagaan parti itu.

Semestinya Umno demi agama, bangsa dan tanah air. Tidak tahulah maksud bangsa dalam perlembagaan Umno itu. Tapi rasanya semua orang tahu ianya bermaksud Melayu.

Dengan itu apakah pemimpin-pemimpin DAP, MCA, Dong Zong, MIC dan Hindraf lebih hebat daripada pemimpin Umno dalam perjuangkan kepentingan bangsa masing-masing?

OK-lah dia nak bertutur guna bahasa Inggeris dalam sidang media, hak dialah walau pun sebagai pemimpin Melayu sepatutnya dia perlu mengutamakan bahasa ibunda sendiri yang menjadi bahasa kebangsaan.

Kalau dia bangga dan cintakan bahasa ibundanya iaitu bahasa Melayu, pasti dia bertutur bahasa Melayu dalam apa acara sekali pun di dalam negara.

PERKASA tidak hairan dengan jati diri sesetengah pemimpin Umno. Cara hidup kebaratan lebih gemar ditonjol-tonjolkan. Pastinya masyarakat Melayu terpegun dan kagum sangat-sangat kepada mereka.

Nak bercakap, lebih gemar berbahasa Inggeris.

Maka tidak hairanlah apabila bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan tidak dapat diperkasakan lagi oleh Umno sebab sesetengah pimpinan parti itu sudah tiada jati diri.

Sebab itu kita mudah lihat banyak papan iklan dalam bahasa Inggeris di merata-merata tempat sekarang, termasuk di dinding-dinding bangunan, nama bangunan, nama taman perumahan dan nama kondominium di seluruh negara.

Jemput Namewee ke parlimen

Malah slogan yang dicetuskan oleh pimpinan negara juga kebanyakannya menggunakan bahasa Inggeris. Mereka seperti langsung tak ambil kisah.

Itulah nasib bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan sejak kebelakangan ini di bawah kuasa BN naungan pimpinan Umno sekarang.

Sedih sungguh mengenangkan nasib pejuang-pejuang bangsa yang bersusah payah memastikan bahasa Melayu menjadi bahasa kebangsaan disematkan kemas dalam Perlembagan Persekutuan Malaysia.

Jika pimpinan negara makin ramai seperti Nazri, tiadalah lagi kepentingan Melayu dapat dipertahankan dan diperkasakan pada masa depan nampaknya.

Kepada orang Melayu, berusaha dan berdoalah untuk mendapatkan pemimpin-pemimpin baru yang mempunyai jati diri Melayu yang tinggi demi menjamin kepentingan bangsa di masa depan.

Untuk para pembaca semua, Nazri bukan baru serang PERKASA. Sejak awal penubuhan PERKASA lagi beliau sudah mengecam pertubuhan ini sebagai NGO rasis.

Sebab itulah PERKASA tidak hairan sangat kerana Nazri membuktikan sebelum ini beliau bukan rasis, kerana beliau lebih melayan budak Cina biadab menghina Islam dan Melayu serta negara bernama Namewe dengan menjemput si biadab itu ke parlimen.

Dia hadir tanpa mengikut etika berpakaian dalam bangunan parlimen demi hendak mendengar masalah budak itu.

Akhir sekali saya sertakan pautan laman web yang ada mempertikaikan semangat Melayu Nazri untuk semua pembaca mengenali lebih jelas seorang yang dikatakan pemimpin parti yang perjuangkan orang Melayu. [Link 1] [Link 2]

Diharapkan tuan punya bigdogdotcom.wordpress tidak keluarkan artikelnya apabila kenyataan saya ini disiarkan.


SYED HASSAN SYED ALI ialah setiausaha agung PERKASA.

Rencana ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen