malaysiakini logo
story-image
ADS

ULASAN | Dulu kau kata Anwar peliwat dan tidak layak memimpin negara, kini kau boleh bersama-sama mainkan rakyat jelata, konon itu cerita lama.

Anwar pula kata "luka kecil" saja! Walaupun sampai lebam biji mata dan rakyat dibelasah, disembur gas pemedih mata, ada yang dipukul dan dipenjara.

Ini semua hanya kerana kau takut hilang kuasa.

Begitu juga peristiwa Memali. Ustaz Ibrahim (Mahmud) seorang ahli PAS yang sangat berpengaruh, kata-katanya memikat hati rakyat jelata. Beliau berkata benar, berani melawan penyelewengan dan kezaliman, bangkit membasmi kemungkaran.

Beliau tidak takut celaan orang yang mencela, beliau tidak pernah gentar dengan ugutan sang penguasa rejim Tun Dr Mahathir ketika itu. Umno Baling dan Kedah rasa tergugat sehingga ada di kalangan pemimpin Umno Kedah mendakwa Ustaz Ibrahim pembawa ajaran sesat.

Ustaz Ibrahim merupakan lulusan Universiti al-Azhar Mesir, kemudian belajar lagi di India dan Libya. Pernah bertugas sebagai pegawai pendakwah di Bahagian Agama Jabatan Perdana Menteri.

Beliau meletak jawatan untuk berkhidmat kepada masyarakat di kampungnya. Rumahnya dijadikan tempat pengajian, orang kampung datang untuk menimba ilmu. Tiada sebarang jenayah yang mereka lakukan. Jadi tiada sebab untuk menahan atau menangkap beliau.

Apa salah mereka

Pada 19 November 1985 tanganmu berlumuran darah-darah mangsa Memali. Seramai 14 orang dibunuh dengan kejam lagi zalim. Walaupun bukan kamu yang menembak atau membunuh mereka (seperti kau tidak pegang satu bata pun untuk pembangunan negara) tetapi ianya berlaku kerana arahan daripada kamu.

Pada tarikh tersebut, 14 orang isteri menjadi balu, anak-anak menjadi yatim, keluarga kehilangan ayah. Kau bunuh tanpa belas kasihan. Seramai 3,600 anggota polis lengkap bersenjata menyerang orang kampung bersama seorang ustaz kesayangan mereka.

Empat orang anggota polis yang terkorban terkena peluru. Dari mana datangnya peluru kalau bukan daripada sesama mereka? Tidakkah ada di kalangan polis yang mabuk dan melepaskan tembakan rambang?

Orang kampung tiada M-16. Meraka hanya ada parang untuk urusan kerja kampung seharian.

Kereta perisai dibawa ke sana, merempuh pagar dengan rakus, melepas gas pemedih mata kepada orang kampung termasuk wanita dan kanak-kanak.

Apa salah mereka? Terbukti mereka tiada rekod jenayah. Mereka tidak bersalah dan tidak pernah dihukum bersalah oleh mana-mana mahkamah dalam negara.

Hanya kerana bimbang kuasa dan pengaruh terhakis, tergamak kau bertindak sedemikian? Sungguh kau sangat zalim lagi kejam.

Dr Mahathir mendakwa mereka adalah penjenayah. Pihak atasan polis juga mendakwa mereka adalah komunis. Ternyata risikan komando 69 yang mendakwa kononnya rumah Ustaz Ibrahim merupakan markas komunis adalah maklumat palsu. Akhirnya mereka balik dan maklumkan kepada 'bos' mereka bahawa (rumah itu) bukan markas komunis tetapi rumah seorang ustaz yang mengajar ilmu agama.

Ustaz Ibrahim dan 13 orang yang lain terkorban dengan tembakan dari peluru M-16. Bergelimpangan di halaman rumah, di depan mata anak dan isteri. Tanpa ada belas kasihan mereka terus disepak terajang dan dihentak dengan laras senapang.

Yang masih bernyawa dipukul bagaikan binatang, dicampak dalam trak bertindan-tindan tanpa belas kasihan, dipijak dan dilanyak sepuas yang mahu dan dicampak bagai sampah. Sungguh kau macam binatang.

Cacat hingga kini

Ayah saya (Mat Piah Yunus) ditembak dengan peluru M-16. Tembakan bertubi-tubi sehingga 14 butir peluru hinggap di badannya. Jarinya putus, tangannya patah, dadanya tembus ke belakang. Beliau dipijak, diherdik kerana tidak "mampus".

Ayah hanya tersenyum menunggu syahid yang beliau idam-idamkan, tetapi kuasa Allah mengatasi segala-galanya. Beliau tidak mati. Beliau diseret dan dihumban ke dalam trak polis.

Di hospital, doktor keluarkan dan sahkan 14 biji peluru dalam badannya. Dalam keadaan luka parah, ayah diikat dengan rantai besi bagaikan penjenayah paling besar dan berbahaya.

Sehingga pernah mak membawa saya ke hospital untuk menziarah ayah. Saya yang waktu itu baru berumur setahun, menjerit ketakutan melihat keadaan ayah. Kenapa sampai begitu? Sekali-kali saya tidak akan katakan ianya "isu kecil".

Selepas beberapa bulan, ayah dimasukan dalam tahanan ISA (Akta Keselamatan Dalam negeri). Dua tahun akan ditahan. Dalam keadaan mak yang tidak sihat dan saya masih kecil, ayah diperlakukan tanpa perikemanusiaan.

Begitu juga kanak-kanak dan wanita diseksa. Selain 14 nyawa terkorban, ramai mangsa yang cedera parah. Ada yang cacat kekal hingga hari ini.

Setelah 32 tahun berlalu, Dr Mahathir tidak pernah mengaku salah apatah lagi ingin memehon maaf. Mohamad Sabu, Mahfuz Omar, Salahuddin Ayub boleh sahkan!

Malang, kini ketiga-tiga nama yang saya sebutkan boleh bersama-sama Dr Mahathir. Sungguh tiada maruah dan menjilat ludah sendiri!

Kami anak-anak mangsa tidak pernah lupa peristiwa hitam ini. Peristiwa ini akan terus menghantui Dr Mahathir. Almarhum Ustaz Fadzil Noor pernah berdoa supaya Dr Mahathir dipanjangkan umur agar beliau melihat sendiri hasil jenayah dan penyelewengan sepanjang pemerintahannya selama ini.

Ya!sekarang Dr Mahathir sedang 'menikmatinya'. Yang ingin bersamanya dan bersekutu, silakan!

Ingat! Ketika seketul batu menghalang kemaraan nabi dan para sahabat untuk berdepan kumpulan ahzab (bersekutu), baginda pukul batu tersebut. Lalu nabi sebut kepada para sahabat, kuasa besar Rom akan jatuh.

Nabi pukul kali yang kedua, nabi sebut Parsi juga akan jatuh. Islam pasti menang!

Kami anak-anak muda sekali-kali tidak akan bersama Umno atau BN, dan tidak bersama Pakatan Harapan. Kami akan bersama perjuangan Islam yang dipimpin PAS dan kepimpinan ulamak dengan Gagasan Sejahtera.

Kami yakin Islam pasti menang. Allahu Akbar!


MOHAMAD ZUHDI MAT PIAH mendakwa dia adalah anak salah seorang mangsa tragedi Memali. Tulisan ini disiarkan terlebih dulu di Facebook Dewan Pemuda PAS Malaysia.

Rencana ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen