malaysiakini logo
story-image
story-image
story-image
story-image
story-image
story-image
mk-logo
Berita
Orang ramai teruja dengan persandingan Tunku Aminah
ADS

Detik-detik bersejarah Istiadat Persandingan Tunku Tun Aminah Maimunah Iskandariah Sultan Ibrahim dengan suami Dennis Muhammad Abdullah turut disaksikan oleh ramai masyarakat bukan sahaja rakyat Johor malah pelancong luar negara.

Tinjauan Bernama ke Dataran Bandaraya mendapati orang ramai mula memenuhi ruang legar dataran mulai pukul 7.30 malam tadi semata-mata mahu menyaksikan secara langsung istiadat bersejarah berkenaan.

Ada yang datang bersama keluarga, bersama pasangan, termasuk rakan-rakan bagi melihat sendiri proses dan upacara istiadat persandingan satu-satunya puteri Sultan Johor dan pasangannya.

Rata-rata pengunjung yang ditemui berasa teruja selain menzahirkan kata-kata tahniah kepada pasangan pengantin berkenaan.

Nazrin Rosni, 25, yang datang bersama isterinya Wan Nurul Atiqah Mohd Fauzi, 25, berkata ini merupakan kali pertama mereka menyaksikan istiadat seperti ini.

"Memang kami sudah rancang untuk datang ke sini selepas kerja sebab kebetulan rumah kami pun berdekatan di Taman Perling.

"Saya mendapat makluman mengenai majlis ini melalui laman sosial Facebook dan memang sentiasa mengikuti perkembangan keluarga diraja," katanya ketika ditemui di Johor Bahru malam tadi.

Sementara itu, Hoo Hock Hian, 50, yang datang bercuti ke kampung halamannya di Johor Bahru berkata dia sengaja memilih hari ini untuk bercuti semata-mata mahu melihat istiadat perkahwinan ini.

"Saya bekerja sebagai pengurus di sebuah syarikat swasta di Shanghai, China dan memang datang bercuti untuk melihat sendiri majlis ini bersama keluarga saya.

"Saya selalu berada di luar negara dan hanya mengetahui mengenai perkara ini dari Facebook dan surat khabar," jelasnya.

Tambah Hoo, pasangan pengantin berkenaan sangat padan kerana masing-masing mempunyai rupa paras yang elok dan datang dari keluarga yang baik-baik.

Bagi pasangan suami isteri, Gina Veromohan, 31, dan Arumugam Seenivasagam, 37, ini bukan pertama kali mereka menyaksikan istiadat perkahwinan diraja dan tidak pernah terlepas peluang menyaksikan apa jua berita yang mengenai kerabat Johor yang disiarkan di Dataran Bandaraya.

"Kami selalu mengikuti perkembangan berita melalui Bernama dan kebetulan kami juga bekerja di kawasan berhampiran jadi memang bercadang untuk datang ke mari selepas pulang.

"Saya bersama suami mahu mengambil peluang ini untuk mengucapkan tahniah kepada pasangan pengantin dan semoga ikatan mereka berkekalan sepanjang hayat," kata Gina.

Turut hadir menyaksikan upacara berkenaan adalah jiran kepada pengantin lelaki, Marcel Vink, 43, yang berasal dari Netherland yang datang ke Johor semata-mata untuk melihat pernikahan jirannya.

"Rumah saya dan rumahnya (Dennis) sebenarnya tidak jauh di Amsterdam dan saya datang ke sini untuk melihat perkahwinan diraja dan acaranya.

“Saya dijemput ke istana tapi saya dengar ramai orang di Dataran lalu saya teringin untuk bertemu dan melihat sendiri orang tempatan,” katanya.

- Bernama

 
Lihat Komen